perkenal 3M

Perkenal semula 3M

PENYEDIAAN lokar dan menyusun semula jadual waktu sekolah adalah antara alternatif mengatasi isu beg berat murid. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan perlu mengembalikan semula Sistem 3M (membaca, menulis dan me­ngira) untuk tahap satu sekolah rendah menggantikan sukatan sekarang yang terlalu banyak dan menyebabkan masalah beg berat tidak pernah selesai.

Sukatan pelajaran sekarang menyebabkan murid terikat dengan silibus yang ketat apatah lagi kebanyakan guru bergantung penuh kepada buku teks berbanding alat bantuan mengajar lain.

Walaupun banyak cadangan yang dikemukakan sebelum ini termasuk tujuh inisiatif yang dinyatakan oleh Kementerian Pendidikan berhubung isu tersebut, ia dilihat menelan belanja yang tinggi di samping tempoh yang lama untuk dilaksanakan sepenuhnya.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, beg sekolah yang berat itu bukanlah masalah sebenar yang berlaku dalam sistem pendidikan, tetapi ia hasil daripada masalah yang lebih besar.

Katanya, langkah terbaik ialah melakukan transformasi dan semakan kurikulum untuk sekolah rendah khususnya tahap satu iaitu murid tahun satu hingga tiga yang menjadi punca kepada beg sekolah yang berat.

Silibus

“Isu sebenar kepada masalah beg sekolah berat ialah masalah kurikulum yang berat, sukatan pelajaran dan mata pelajaran yang banyak serta topik yang terlalu sukar.

“Transformasi pendidikan di sekolah rendah ini bukanlah untuk menjadikan pelajar itu terlalu terikat dengan silibus yang ketat, tetapi lebih kepada memastikan pelajar itu menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

“Pada saya, peringkat sekolah rendah tahap satu ini ti­dak perlunya pendidikan sains. Cukup dengan pendidikan bahasa, pendidikan agama dan moral serta matematik untuk kemahiran mengira.

“Jadi itu sudah memadai untuk peringkat sekolah rendah tahap satu, yang lain kita boleh tangguhkan ke tahap dua iaitu Tahun 4, 5 dan 6,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan, penyediaan lokar di sekolah rendah dan penyusunan semula jadual waktu, antara tujuh ketetapan bakal dilaksanakan bagi menangani isu beg berat murid.

Kementerian turut menggariskan ketetapan dari aspek bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan buku kerja, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembe­lajaran (PdP) serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Manfaat

Menurut Dr. Anuar, sekiranya kurikulum pendidikan tidak melalui transformasi meskipun isu beg sekolah yang berat sudah berbangkit, ia akhirnya dibimbangi tidak memberi manfaat kepada pendidikan anak-anak.

Katanya, ini kerana mereka perlu menghadapi kurikulum yang berat, sukatan pelajaran dan mata pelajaran yang ba­nyak bersama topik yang terlalu sukar, tetapi tidak mendapat manfaat itu.

“Misalnya kita tekankan kemahiran asas 3M, namun ada lagi pelajar tidak boleh membaca, menulis dan mengira walaupun sudah masuk darjah enam.

“Jadi apa maknanya kita buat beban tetapi ramai pelajar se­perti tidak boleh menerapkannya dengan baik?

Justeru, beliau berkata, subjek selain daripada kemahiran asas 3M itu boleh dilaksanakan sekiranya ingin didedahkan kepada murid-murid, tetapi bukan dalam bentuk silibus.

“Contohnya, jika kita mahu laksanakan pendidikan muzik di tahap satu, maka boleh, tetapi bukan dalam bentuk silibus dan ia perlu lebih kepada aktiviti (bersama) pelajar sahaja.

“Yang penting pada tahap satu ini adalah 3M, jadi jika kita kaji balik (kurikulum) dan kurangkan silibus, topik dan bilangan mata pelajaran, maka secara automatik tidak timbul isu beg sekolah berat,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menasihati guru-guru tidak terlalu bergantung kepada buku teks, sebaliknya menggunakan bahan bantu mengajar dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Beliau berkata, buku teks hanya perlu dijadikan sebagai panduan bagi membolehkan sesi PdP mereka itu tetap selari dengan kurikulum yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Buku teks

“Guru-guru boleh guna bahan pengajaran yang selari de­ngan kurikulum pendidikan se­masa mengajar, bukan bergantung kepada buku teks.

“Jika (guru) bergantung kepada buku teks, ia terhad juga sebab mungkin sesuatu tajuk itu hanya diterangkan dalam dua atau tiga muka surat sahaja, sedangkan tajuk itu luas.,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan pula berpendapat, sistem pendidikan negara perlu berubah supaya tidak memberi penekanan keterlaluan kepada akademik semata-mata.

“Contoh subjek agama ba­nyak dibebankan dengan kan­du­ngan subjek tersebut, tetapi penghayatan dan pengamalannya bagaimana? Saya rasa tak se­rupa dengan apa yang dibe­ri pendedahan dalam subjek berke­naan.

“Contoh subjek sains. Ba­nyak ilmu didedahkan dalam buku teks dan buku latihannya, tetapi amalan praktikal tidak ada di makmal. Jadi bagaimana kita nak pelajar-pelajar kita be­tul-betul memahami sains tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×