SHAH ALAM- Persatuan Gabungan Kontraktor Kebersihan Bangunan Dan Kawasan (KBK) 1Malaysia merayu pihak Kerajaan Keluarga Malaysia untuk menyegerakan tunggakan gaji yang disebabkan oleh Pelarasan Gaji Minimum (PGM) dan tunggakan bayaran kontraktor di bawah klausa AP 58.
Pengerusinya, Razalee Ahmad berkata, anggaran tunggakan bernilai RM165 juta itu disebabkan pelaksanaan gaji minimum yang bermula daripada RM1,100 pada 2019 dan RM1,200 pada 2020.
“Kami kontraktor KBK telah mendahulukan modal kami untuk membayar gaji kakitangan pembersihan disamping bayaran tambahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mana ia boleh dituntut kemudian daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kami sehingga kini masih patuh membayar pekerja kami mengikut Pelarasan Gaji Minimum.
“Namun selepas lebih dua tahun kami masih belum memperolehi bayaran tunggakan tersebut dan status pembayaran masih dalam ‘status-quo’ sejak tahun lepas, tiada perkembangan atau arahan terbaharu daripada KPM,”katanya dalam sidang akhbar di Banting hari ini.
Razalee berkata, kemelut kewangan kini lebih terbeban kepada pihaknya apabila KPM baru-baru ini menangguhkan bayaran tuntutan bulanan untuk Oktober, November dan Disember 2021 di bawah klausa AP 58.
Jelasnya lagi, masalah PGM belum selesai ditambah dengan isu AP 58, kedua-duanya melibatkan kewangan dan pihak kontraktor KBK ingin melihat KPM lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah ini dengan segera.
Kontraktor KBK katanya, masih lagi bertahan demi kelangsungan perniagaan walaupun sedang melalui waktu yang sangat getir dengan kekangan kewangan serta masalah kekurangan pekerja warga tempatan sejak pandemik covid-19.
Sehubungan dengan itu, pihak kontraktor KBK memohon tunggakan bayaran disegerakan agar kesemua 2,000 lebih kontraktor dapat kembali bernafas.
“Cadangan pelaksanaan gaji minimum dinaikkan ke RM1,500 mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pekerja namun bagi pihak kontraktor kami memandang perkara ini sebagai cabaran untuk ditangani oleh pihak KPM dalam pengurusan pembayaran yang lebih berkesan, proaktif dan sistematik agar situasi menang-menang dapat dicapai oleh kedua belah pihak,” katanya. – UTUSAN










