Khairy, MySejahtera tumpuan Dewan Negara hari ini

Khairy, MySejahtera tumpuan Dewan Negara hari ini

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Negara hari ini tertumpu kepada isu pembangunan dan pengendalian MySejahtera apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dijangka membawakan usul tersebut bagi menjelaskan sebarang salah faham melibatkan aplikasi berkenaan.

Ia berikutan Khairy pada Selasa lalu, dilaporkan meminta supaya Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim membenarkan usul melibatkan MySejahtera dibahas oleh ahli-ahli Dewan Negara hari ini.

Kata Khairy, tiada perkara yang disembunyikan mengenai MySejahtera dan beliau akan menjawab semua persoalan supaya tiada lagi isu timbul berhubung pengendalian aplikasi itu.

Pengendalian aplikasi MySejahtera sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila ia dilaporkan dijual kepada syarikat swasta, bagaimanapun, Khairy menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah berbuat demikian dan ia masih menjadi hak milik kerajaan manakala kementeriannya dilantik sebagai pemilik utama aplikasi itu.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) memaklumkan, akan memanggil Khairy bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai saksi utama mengenai MySejahtera hadir ke prosiding dalam masa terdekat.

PAC mempersoal bagaimana pemilikan aplikasi MySejahtera dipindah daripada syarikat KPISoft Malaysia Sdn. Bhd. kepada MYSJ Sdn. Bhd.

Sementara itu, menurut aturan urusan mesyuarat Dewan Negara bagi sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan pagi ini, Senator Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah (PKR) akan meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah pekerjaan yang telah ditawarkan di bawah program MyStep dan Protege.

Isu lain juga tertumpu kepada Senator Tan Sri Datuk Mohd. Radzi Sheikh Ahmad (Bersatu) meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan sama ada negara mempunyai pelan penggunaan tenaga solar memandangkan negara mempunyai sumber cahaya matahari tinggi.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut dijadualkan hari ini.

Mesyuarat Pertama Parlimen Keempat Belas 2022 takwim bagi penggal kelima berakhir hari ini selama lapan hari sejak 28 Februari dan Dewan Negara akan bersidang semula bagi mesyuarat kedua selama enam hari pada 8 Ogos hingga 16 Ogos ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN