Ketua balai bomba dijel 180 bulan, didenda RM194,062.10  - Utusan Malaysia

Ketua balai bomba dijel 180 bulan, didenda RM194,062.10 

SHEIKH HASSAN Sheikh Zainuddin (tengah) dibawa keluar daripada kamar Mahkamah Sesyen Kuantan selepas dijatuhkan hukuman penjara 180 bulan dan denda RM194,062.10 bagi kesalahan salah guna kuasa. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Pekan, dihukum penjara 180 bulan dan denda RM194,062.10 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan atas kesalahan menyalahgunakan jawatan untuk mendapat suapan, di sini hari ini.

Tertuduh, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 57, dijatuhi hukuman selepas didapati bersalah atas 10 pertuduhan memberi kontrak pembekalan makanan bernilai RM36,279.69 kepada syarikat milik isterinya.

Hakim, Datuk Ahmad Zamzami Mohd. Zain membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Dalam pada itu, berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menggunakan kedudukannya yang mencadangkan syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise, milik isterinya bagi pembelian dan penyediaan makanan untuk pelbagai program serta operasi melibatkan anggota bomba.

Antara kontrak itu melibatkan penyediaan makanan untuk anggota bomba yang terlibat dengan operasi pembinaan semula rumah terbakar, operasi memadam kebakaran hutan dan bencana banjir.

Kesalahan itu dilakukan antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap satu kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.

Tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 24 akta sama, iaitu boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima tahun  jika gagal membayar denda dan semua hukuman penjara yang disabitkan berjalan secara serentak bermula tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya SPRM, Siti Sarah  Zainal Abiddin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Ahmad Zamzani ketika hujahan penghakimannya berkata, keputusan sabitan dan hukuman dibuat selepas menilai keterangan 18 saksi pendakwaan dan tiga saksi mewakili pembelaan, bukti-bukti serta hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.

Beliau menjelaskan Sheikh Hassan gagal mematahkan kes pendakwaan dan pendakwaan berjaya membuktikan kes di akhir pembelaan.

Sementara itu, Ahmad Zamzani turut membenarkan permohonan peguam G. Ravishankar yang mewakili Sheikh Hassan  untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Katanya, permohonan perlu difailkan dalam tempoh 14 hari oleh tertuduh dan jaminan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya