Kes seksual: Bekas guru disiplin dapat lanjutan masa fail petisyen rayuan - Utusan Malaysia

Kes seksual: Bekas guru disiplin dapat lanjutan masa fail petisyen rayuan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan seorang bekas guru disiplin mendapatkan lanjutan masa memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara berjumlah 80 tahun dan 20 sebatan atas 14 pertuduhan seksual melibatkan lapan murid perempuan.

Daripada 14 tuduhan tersebut, bekas guru disiplin sebuah sekolah rendah di Beluran, Sandakan, Sabah itu disabitkan atas dua tuduhan merogol, 11 tuduhan mencabul dan satu tuduhan meliwat salah seorang mangsa.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian membenarkan permohonan perayu, Freddie @ Ampat Unsin, 59, pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Sebelum itu, peguam Hamida Ambo yang mewakili Freddie memohon lanjutan masa memfailkan petisyen rayuan kerana perlu meneliti beberapa jilid rekod rayuan.

Beliau memaklumkan, tarikh akhir memfailkan petisyen ialah pada 20 Disember 2021 dan pihaknya terlewat kurang daripada 10 hari untuk memfailkannya.

Menurut Hamida, beliau memerlukan masa untuk mengkaji rekod rayuan selain mendapat arahan lanjut daripada anak guam.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memaklumkan pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan lanjutan masa memfailkan petisyen rayuan.

Pada 26 Ogos 2019, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 80 tahun dan 20 sebatan terhadap Freddie bagi 14 pertuduhan rogol, cabul serta liwat melibatkan lapan murid berkenaan.

Hakim Ummu Kalthom Abd. Samad menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan kerana merogol mangsa yang ketika kejadian berusia sembilan tahun.

Bekas guru itu turut dipenjara 18 tahun serta empat sebatan kerana merogol seorang lagi murid yang ketika kejadian berusia 10 tahun.

Kejadian berlaku masing-masing di antara November 2015 dan Julai 2016 di sekolah tempatnya bertugas.

Ummu Kalthom memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh dia didakwa pada 27 Disember 2017.

Freddie turut dipenjara berjumlah 43 tahun dan 12 sebatan atas 11 pertuduhan cabul. Hukuman diperintah berjalan berturutan selepas dia menjalani hukuman bagi dua pertuduhan rogol.

Semua 11 pertuduhan cabul itu melibatkan muridnya berumur di antara enam dan 10 tahun di sekolah sama di antara Januari dan Julai 2016.

Dia juga didapati bersalah meliwat seorang pelajar 10 tahun di sekolah sama antara Jun dan Julai 2016.

Bagi kesalahan itu, Freddie dijatuhi hukuman penjara empat tahun serta satu sebatan yang akan dijalankan berturutan daripada kesalahan lain.

Ini bermakna, Freddie hanya menjalani hukuman penjara 65 tahun dan 20 sebatan kesemuanya.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Ummu Kalthom berkata kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius.

Jelas beliau, walaupun berkhidmat sebagai guru disiplin, Freddie mengambil kesempatan dengan menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa yang mana mereka sepatutnya berasa selamat di bawah penyeliaannya di sekolah itu.

“Keadaan kesalahan dalam kes ini menunjukkan terdapat tentangan daripada mangsa, tetapi disebabkan kedudukan tertuduh sebagai guru meletakkan mangsa dalam keadaan tidak berdaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya