KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap agar bayaran interim pemberian khas RM1.5 bilion daripada kerajaan Persekutuan dapat disalurkan kepada Sabah secepat mungkin bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri turut mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus menghormati serta melaksanakan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, komitmen ditunjukkan itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar dalam menunaikan janji kepada Sabah.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan apa yang dijanjikan.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua peruntukan di bawah MA63, khususnya pemberian khas 40 peratus, dapat direalisasikan,” katanya.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan bayaran interim pemberian khas kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai langkah sementara sementara rundingan dan pemuktamadan kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu diselesaikan. – UTUSAN










