PUTRAJAYA: Bilangan kematian tertinggi disebabkan wabak Covid-19 yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan semalam bukanlah angka maut dilapor terjadi dalam masa satu hari.
Menurut menterinya, Khairy Jamaluddin, situasi itu ekoran proses pelaporan kematian telah ditambah baik dan mengikut angka diterima setiap hari daripada lapangan bermula 1 Mac lalu.
“Sebelum ini, laporan kematian cuma diumumkan setelah proses pendaftaran kes di peringkat negeri selesai yang ada kalanya ambil masa agak panjang sehingga tertunda lama,” katanya.
Beliau menjelaskan isu tersebut dalam sidang akhbar selepas melancarkan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan di auditorium Hospital Serdang, Selangor, dekat sini hari ini.
Semalam, sejumlah 115 kematian akibat Covid-19 di seluruh negara diumumkan, sekali gus menjadi angka tertinggi untuk tahun ini, di samping merekodkan 27,500 kes baharu.
Ia juga merupakan angka kedua tertinggi sejak wabak global itu melanda negara ini sekitar awal 2020 lalu dengan paling tinggi yang pernah dicatat ialah 132 kematian pada 7 Oktober 2021.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, ada baki banyak kes tertunda dari bulan lepas yang menjadi faktor ‘backlog’ atau tunggakan dan ini mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, demi memastikan ketepatan masa pelaporan, kes kematian Covid-19 mulai kelmarin tidak lagi tunggu pendaftaran kes tetapi perlu dilaporkan dalam jangka masa 72 jam,” katanya.
Sehingga semalam ujar beliau, purata pusingan waktu pelaporan data di Malaysia adalah tiga hari dan maklumat itu turut dipaparkan secara telus melalui laman sesawang rasmi CovidNow.
Tempoh had itu secara perbandingan global tegasnya, adalah amat pantas daripada Britain sendiri yang mengambil masa 11 hari, manakala Kanada pula antara tujuh hari sehingga 14 hari.
Bagaimanapun katanya, kelewatan kes tertentu di Malaysia melebihi tiga hari pula disebabkan ada memerlukan siasatan lanjut di lapangan termasuk kajian bedah siasat dan ujian makmal.
Senario itulah yang dilaporkan semalam apabila daripada 115 kes maut tersebut, hanya 53 kematian atau 46 peratus merupakan pelaporan terperinci melebihi tempoh 72 jam ditetapkan.
Menyentuh gelombang varian Omicron, Khairy menjelaskan, kes maut tidak hanya merujuk bilangan mutlak setiap hari, namun indikator yang paling utama ialah kadar kematian kes (CFR).
“Ia memberi gambaran tepat suasana wabak semasa dengan semalam, CFR dicatatkan ialah 0.2 peratus, manakala CFR secara kumulatif masih lagi stabil iaitu cuma 0.9 peratus,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan, kementerian tersebut sentiasa menambah baik lagi pelaporan data agar ia disampaikan secara masa amat tepat untuk rujukan rakyat Malaysia. – UTUSAN










