tuntutan palsu

Kemuka tuntutan palsu, rayuan kurang jaminan ditolak

MOHD. Zamadi Mohd. Zain hadir ke Mahkamah Sesyen untuk menghadapi pertuduhan mengemukakan butir matan palsu kepada Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Klang, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rayuan seorang tertuduh untuk mengurangkan jaminan RM10,000 tidak dilayan mahkamah di sini apabila didakwa mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM17,000 terhadap Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Klang.

Malah, selain jaminan dengan seorang penjamin Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh menetapkan tertuduh Mohd. Zamadi Mohd. Zain, 42, mematuhi syarat tambahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa iaitu lapor diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Klang setiap awal bulan.

Selain itu, tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Perintah tersebut dikeluarkan selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab menyatakan pertuduhan yang dihadapi Mohd. Zamadi adalah berat kerana mengemukakan butir matan palsu terhadap majikannya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Gred E29 itu didakwa melakukan kesalahan memperdaya pegawai atasannya dengan mengemukakan dokumen tuntutan palsu pada 15 Januari 2018.

Tertuduh dikatakan mengemukakan tuntutan sebanyak RM17,000 melalui invois atas nama syarikat Luq Qur Enterprise yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi butir matan palsu.

Bapa kepada tiga orang anak yang masih kecil itu didakwa melakukan tersebut di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Selain itu, Mohd. Zamadi turut ditawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memohon dibicarakan. Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 5 April hadapan.

Ssebelum Rozilah menetapkan jaminan, peguambela, Samry Masri dan Ainul Azwan Ainul Azirahman dari firma Sam Masri & Associates yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan dengan mengambil kira status latar belakang anak guamnya.

Dalam masa sama, pihaknya juga memaklumkan tidak ada bantahan terhadap syarat tambahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

“Tertuduh juga sudah berkhidmat selama 18 tahun sejak 2004 dan memperoleh gaji pada waktu ini sebanyak RM4,000. Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak yang masih kecil dan bersekolah berusia 15, 12 dan tiga tahun.

“Puan, saya juga dimaklumkan selama 18 tahun berkhidmat tertuduh merupakan pekerja cemerlang dan menggunakan medium (prosiding) pada hari ini untuk membersihkan namanya daripada pertuduhan ini.

Beliau menambah, rayuan pengurangan jaminan juga dibuat atas alasan Mohd. Zamadi melawat dan menjaga ibunya setiap dua atau tiga minggu di Gua Musang, Kelantan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN