ALOR SETAR: Kerajaan negeri meminta Kerajaan Persekutuan meneliti dengan mendalam kertas cadangan yang bakal dikemukakan sebelum membuat keputusan untuk tidak meluluskan eksport ketum ke Thailand.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya akan akur dengan apa sahaja keputusan kerajaan selepas pembentangan kertas cadangan tersebut setelah mengadakan sesi libat urus dengan agensi penguat kuasa serta pekebun dan penanam ketum.
“Kita akan adakan sesi libat urus dengan agensi penguatkuasaan, dengan pekebun atau penanam, jika ada orang seludup sekali kalau mereka sanggup bagi cadangan apa salahnya untuk kita kemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Kita baru di peringkat cadangan, sekiranya cadangan ini tidak dapat dipertimbangkan kita akurlah, kita hadapi suasana yang berlaku penyeludupan di lapangan pada waktu ini.
“Sekiranya ada kelulusan sesuatu yang baru yang hendak digubal maka kita tunggu sehingga satu keputusan dapat dimuktamadkan,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas tamat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Muhammad Sanusi menambah, terdapat kebaikan sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti eksport daun ketum segar daripada terus berlaku penyeludupan tumbuhan itu selain disalah guna oleh masyarakat.
Kerajaan Persekutuan kata beliau, sepatutnya memberi perhatian kepada penyalahgunaan bahan itu kerana daun ketum itu sendiri tidak berdosa.
“Yang berdosa salah guna daun ketum seperti orang salah guna senjata, di dunia ini ada aktiviti eksport import bom dan senjata yang digunakan atas alasan pertahanan, tapi ada yang salah guna seperti Israel beli senjata dari Amerika Syarikat, mereka guna untuk tembak penduduk Palestin, itu adalah salah.
“Sebenarnya tak perlu dibandingkan dengan bom dan senjata berat lain, memadai dengan pistol, kita ini cuma mahu eksport daun ketum saja untuk tujuan perubatan,” jelas beliau.
Ketika ditanya adakah kerajaan negeri mempunyai jaminan tiada penyalahgunaan daun ketum sekiranya aktiviti eksport ketum dibenarkan kelak, Muhammad Sanusi berkata, tiada jaminan boleh diberikan mengenai keadaan itu berikutan ia sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu. – UTUSAN










