Kanak-kanak rentung terbakar selamat dikebumi - Utusan Malaysia

Kanak-kanak rentung terbakar selamat dikebumi

NORBAIZURA Abu Bakar menyiram air mawar dikubur Misha Kasih selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Mawaddah, Sungai Batu, Merbok, Sungai Petani hari ini. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jenazah kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang rentung dalam kebakaran sebuah kilang getah sintetik di kawasan Bakar Arang, Jumaat lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Mawaddah, Sungai Batu, Merbok dekat sini hari ini.

Jenazah Misha Kasih sebelum itu dibawa ke Masjid Al-Bushro, Merbok kira-kira pukul 1 petang untuk disembahyangkan selepas selesai bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Ibu angkat Misha Kasih, Norbaizura Abu Bakar, 33, berkata, dia bersyukur kerana selepas enam hari kejadian akhirnya mayat kanak-kanak itu dapat dituntut untuk dikebumikan.

“Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpanya, namun saya berpuas hati kerana akhirnya saya dapat menuntut mayatnya untuk dikebumikan.

“Sebelum ini saya bimbang kerana mayatnya yang tidak sempurna terbiar lama tetapi saya bersyukur proses pengebumian berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pengebumian Misha Kasih yang turut dihadiri saudara terdekat Norbaizura selesai pada pukul 1.45 petang.

Akhbar pada 5 Mac lalu melaporkan Misha Kasih ditemukan rentung di  dalam sebuah bilik di tingkat atas bangunan pejabat sebuah kilang di Bakar Arang di sini sebaik sahaja kerja-kerja memadam kebakaran selesai.

Mangsa dipercayai terperangkap dalam kebakaran yang bermula pukul 3 pagi apabila tangga kayu yang menjadi satu-satunya jalan ke biliknya terbakar.

Selain Misha Kasih, lima ahi keluarga pemilik kilang dan dua pekerja lelaki yang turut bermalam di beberapa buah bilik di kilang itu berjaya menyelamatkan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN