Jho Low seleweng duit sebelum Najib buka akaun

Jho Low seleweng duit sebelum Najib buka akaun

jho low
JHO LOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dikatakan telah lama menyeleweng wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penyelewengan itu dakwa peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berlaku ketika 1MDB masih dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan sebelum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Tun Najib Razak membuka akaun peribadi di bank Ambank.

NAJIB TUN RAZAK

Perkara itu dipersetujui saksi pendakwaan ke-13, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail dalam perbicaraan kes Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 billion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram pada jumlah wang yang sama.

Tambahnya, beliau mempunyai tanggapan bahawa Jho Low mempunyai hubungan baik dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga penasihat kepada bekas Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi menentukan hala tuju TIA dalam pembangunan di negeri tersebut.

“Ya, saya beranggapan sebegitu kerana kali pertama saya berjumpa dengan Jho Low juga adalah di Istana Terengganu,” kata Ismee.

Ketika dirujuk laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterbitkan semula dalam sebuah portal, Malaysia Today, saksi itu turut bersetuju dengan cadangan peguam terbabit apabila penyelewengan itu berlaku sewaktu penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) oleh TIA sekitar 2009.

Pada prosiding terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa dua buah syarikat, Country Group Securities Pcl dan Aktis Capital Singapore Pte Ltd yang dikaitkan dengan Jho Low menerima keuntungan atas angin berjumlah RM74 juta.

‘Keuntungan’ itu diperolehi Jho Low apabila menjual semula bon tersebut dengan harga pasaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedangkan bon itu dibeli dengan harga diskaun dalam masa beberapa hari.

“Akaun peribadi Ambank Najib pula yang didakwa menerima dana 1MDB berbilion ringgit pula hanya dibuka pada tahun 2011, jadi ia tidak ada kena mengena dengan IMTN,” kata peguam itu yang dipersetujui Ismee.

Pada prosiding sesi petang, Ismee menyatakan konsep bekerja secara rahsia (work-in-silo) menjadi antara alasan kenapa 1MDB gagal dalam operasinya.

Saksi itu bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa konsep sedemikian bukanlah satu amalan yang bagus untuk diamalkan dalam sesebuah syarikat kerana ia boleh menjadi punca kepada korupsi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya