SEPANG: Ikon Ratu Kutub Negara, Dr. Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir akan membentangkan kertas kerja berkaitan pemanasan global pada misi Climate Force 2041 (CF2041) dengan matlamat ia dapat dikawal semua pihak dengan lebih baik pada masa akan datang.
Beliau selaku wakil negara CF2041 yang bermula di Ushuaia, Argentina berkata, pelayaran yang memakan masa selama 12 hari bermula esok itu menyaksikan semua peserta dibawa ke kawasan bongkah ais bagi melihat sendiri impak pemanasan global di Antartika.
Katanya, dunia sedia maklum Antartika kini sedang mencair dan jika ia berterusan, maka dunia bakal berdepan bencana alam teruk seperti tsunami, banjir dan banyak tempat rendah ditenggelami air.
“Perubahan cuaca yang tidak menentu sekarang ini juga berlaku berikutan pemanasan global melampau. Pengalaman saya mengembara di Kutub Utara dan Selatan sebelum ini memberi peluang untuk saya lebih mendalami fenomena alam.
“Kami akan bentangkan cadangan kepada peserta seluruh dunia dan berharap ia dapat mengubah stigma masyarakat dunia mengenai pentingnya mengawal pemanasan global,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan misi itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Dr. Sharifah Mazlina yang juga Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) All Women Empowerment To Accelerate (Aweta) akan menjayakan misi selama 12 hari bersama protegenya, Muhammad Khairul Akmal Adam.
Beliau menerima jemputan dari pengembara Antartika Robert Swan tahun lalu untuk menyertai ekspedisi berkenaan.
Sementara itu, katanya, misi tersebut melibatkan 150 peserta lain dari beberapa negara antaranya Amerika Syarikat, Kuwait dan Afrika Selatan.
“Misi pelayaran akan bermula Rabu ini (esok) setelah kami tiba di Argentina. Sepanjang pelayaran itu, peserta akan menjalankan pelbagai program berkaitan pemanasan global dan perubahan iklim,” katanya.
Beliau menambah, dalam pelayaran ini semua peserta akan dibawa ke kawasan bongkah ais bagi menyaksikan sendiri impak pemanasan global.
“Kami harap rakyat Malaysia dapat mendoakan keselamatan dan kejayaan misi ini kerana apa yang kami peroleh nanti amat penting sebagai rujukan dan penyelidikan negara pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Khairul Akmal yang juga pelajar tahun kedua di Universiti Multimedia menyifatkan misi tersebut sebagai pendedahan kepadanya untuk mempelajari lebih banyak mengenai isu pemanasan global.
Pelajar jurusan Diploma Multimedia Kreatif itu berkata, dia akan memanfaatkan ilmu dan pengalaman daripada misi tersebut dengan berkongsi kepada golongan muda lain.
“Pengalaman ini akan disebar luas kelak dalam pelbagai medium komunikasi agar masyarakat tahu kepentingan menjaga alam sekitar dan mengawal pemanasan global,” katanya. – UTUSAN










