Hak isteri mahu bercerai tergantung - Utusan Malaysia

Hak isteri mahu bercerai tergantung

MOHD. Na'im Mokhtar bercakap dalam sidang akhbar di Kompleks Islam Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah perceraian dan nafkah hanya boleh dikeluarkan secara serentak apabila terdapat persetujuan bersama daripada dua pihak yang memfailkan kes tersebut di mahkamah syariah.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, bagi pasangan yang tidak mencapai persetujuan bersama dalam isu nafkah, perintah perceraian dikeluarkan terlebih dahulu bagi mengelakkan tempoh masa penyelesaian kes berlarutan.

“Sekiranya perintah nafkah dikeluarkan serentak dalam keadaan tiada persetujuan, kita bimbang hak isteri untuk mendapatkan penceraian segera akan tergantung disebabkan tiada persetujuan jumlah nafkah.

“Isteri akan tergantung sebab mahkamah tak boleh keluar perintah perceraian sebab nak tunggu perintah nafkah,” katanya dalam sidang akhbar isu tahanan pendapatan dan penghakiman perintah nafkah bersama perintah perceraian secara serentak di sini hari ini.

Beliau berkata, jika tiada persetujuan suami atau bapa, kes akan dibawa ke pendengaran penuh dan pihak isteri atau anak yang memohon nafkah akan mendatangkan bukti dan keterangan yang menunjukkan kemampuan bapa.

“Mahkamah memerlukan keterangan dan bukti, manakala proses ini yang akan mengambil masa sebelum mahkamah boleh tentukan jumlah atau taksirkan jumlah nafkah untuk isteri dan anak. Ini yang saya sebut tadi dalam keadaan tiada persetujuan pihak. Mahkamah kena berlaku adil tentukan berapa sebenar pendapatan suami,” katanya.

Mohd. Na’im yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, justeru pasangan yang tidak mendapat persetujuan bersama dalam isu nafkah, perintah perceraian dikeluarkan terlebih dahulu bagi mengelakkan tempoh masa penyelesaian kes berlarutan.

Katanya, sehubungan itu, JKSM menyarankan hakim mempertimbangkan untuk mengeluarkan perintah nafkah sementara berdasarkan Seksyen 70, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 atau merujuk Arahan Amalan No. 5 Tahun 2019 berhubung Garis Panduan Skala Pentaksiran Jumlah Nafkah Anak dalam menyegerakan penyelesaian bagi tuntutan nafkah tersebut.

“Sementara menunggu jumlah sebenar yang akan ditaksir hakim, itu alternatif jika tidak ada persetujuan kedua-dua pihak. Ia untuk tentukan jumlah nafkah interim sementara bukan kekal sebab taksiran perintah sebenar hanya akan ditentukan mahkamah apabila pendengaran penuh. Habis bicara nanti boleh jadi lebih atau kurang (nafkah). Yang penting perintah interim untuk anak-anak meneruskan kehidupan sudah ada. Kalau tiada skala ini, nanti tunggu bicara setahun lama, macam mana anak-anak ini nak teruskan hidup,” katanya.

Katanya, untuk kedua-dua pihak yang telah mencapai persetujuan pula, perintah perceraian dan perintah nafkah tersebut boleh dikeluarkan secara serentak.

Sebelum ini kerajaan bersetuju mencadangkan supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, ini bagi mengelakkan masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu itu sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya