SEREMBAN: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) memohon kerajaan memberikan kelonggaran supaya pemain industri hotel di negara ini dapat melaksanakan pemberian gaji minimum sebanyak RM1,500 secara berfasa dan berperingkat.
Setiausaha Agungnya, Christina Toh berkata, perkara tersebut mengambil kira industri perhotelan dan pelancongan di negara ini merupakan antara yang paling teruk terjejas sewaktu pandemik Covid-19.
Jelas beliau, apabila negara mula memasuki peralihan fasa endemik, pemain industri hotel perlu diberi peluang sedikit untuk ‘bernafas’ termasuk bagi menerima semula kehadiran pelancong terutamanya dari luar negara.
“Kita baharu mahu mula keluar dari pandemik dan memasuki fasa endemik tetapi diperkenalkan pula gaji minimum RM1,500, tentunya ia memberikan impak kepada kami.
“Kami harap kerajaan dapat mempertimbangkan kerana industri pelancongan termasuk perhotelan merupakan industri yang pertama terkesan semasa pandemik tetapi menjadi yang terakhir untuk pulih.
“Penetapan jumlah gaji minimum itu memberikan tekanan kepada kami. Sebab itu kami dari pihak industri memohon kerajaan mempertimbangkan supaya ia dijalankan secara berperingkat dan fasa demi fasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Karnival MAH NS, Festival Makanan Negeri Sembilan 2022 Sempena Ramadan di sini semalam.
Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Sementara itu, tambah Christina, walaupun pintu sempadan negara dibuka bermula 1 April nanti, industri pelancongan negara tidak akan pulih sekali gus.
“Pelancong juga tidak akan datang sekali gus dan ia akan mengambil masa. Promosi perlu berjalan berterusan dan prosedur operasi standard (SOP) juga perlu disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap supaya kerajaan dapat mengurangkan pembayaran polisi insurans (Covid-19 dan pengembaraan) bernilai AS$50,000 yang ketika ini diwajibkan untuk dibeli oleh pelancong asing ke negara ini.
“Bagi pelancong ia agak mahal, jadi pihak persatuan memohon kerajaan supaya dapat meringankan pembayaran polisi insurans itu, kurangkan sedikit, mungkin daripada AS$50,000 jadi AS$30,000,” katanya. – UTUSAN










