Elak projek sakit, lambat di Pahang - Tengku Hassanal - Utusan Malaysia

Elak projek sakit, lambat di Pahang – Tengku Hassanal

TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan menyempurnakan sesi pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kali ke-14 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pahang diminta mempercepatkan pelaksanaan projek yang diluluskan di negeri ini dengan mematuhi peraturan dan tatacara sedia ada bagi mengelak berlakunya sebarang projek sakit serta lambat.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, setiap peruntukan diterima perlu dibelanjakan dengan cepat dan disegerakan pembinaan projek dirancang supaya rakyat dapat menerima manfaat dengan sebaik-baiknya.

“Saya tidak mahu melihat projek sakit atau lambat pelaksanaannya di Pahang. Menyentuh pelaksanaan projek-projek Persekutuan di negeri ini, saya suka bertitah agar kerajaan saya dan Persekutuan bekerjasama rapat terutama dalam melaksanakan projek-projek mendesak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan juga Belanjawan 2022 serta berimpak tinggi di negeri ini.

“Ia termasuklah projek tebatan banjir dan pembangunan sistem amaran bencana serta penambahan sistem saliran di lokasi berisiko tinggi berlakunya bencana,” titah baginda pada sesi pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kali ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tengku Hassanal dalam pada itu bertitah, kerajaan Pahang juga perlu menyegerakan usaha untuk membina penempatan baharu bagi memindahkan mereka yang sering terlibat dengan banjir.

“Saya difahamkan, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM19,000 untuk setiap rumah yang terjejas teruk dan perlu dibina semula di bawah insentif rumah kasih keluarga Malaysia. Ini menjadikan peruntukan membina sebuah rumah berjumlah RM75,000 yang mana RM56,000 sumbangan Kerajaan Persekutuan dan RM19,000 sumbangan kerajaan negeri,” titah baginda.

Sementara itu, baginda berbangga dengan usaha dan tindakan proaktif kerajaan negeri kerana berjaya membawa pelaburan baharu kira-kira RM5.5 bilion ke negeri pada awal tahun ini.

Titah baginda, pelaburan itu melibatkan syarikat-syarikat pelaburan dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan.

“Saya juga berasa sangat sukacita dengan usaha Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam mempromosi dan telah berjaya menarik RM987 juta pelaburan domestik dan RM9.8 bilion pelaburan antarabangsa ke negeri ini.

“Semua pelaburan ini mesti diurus dengan baik agar dapat memberikan manfaat melalui peluang pekerjaan mahupun limpahan ekonomi kepada rakyat,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN