KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah juga harus mengambil langkah membentangkan Rang Undang-Undang Akta Anti Lompat Parti selepas pembentangan dilakukan di Dewan Rakyat pada bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, pembentangan di Parlimen dijangka dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum persidangan kali ini berakhir pada 24 Mac.
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, pada Selasa ini Wan Junaidi akan memberi taklimat mengenai akta tersebut kepada komponen-komponen Perikatan Nasional (PN).
Justeru, di peringkat negeri, pembentangan RUU mengenai akta ini juga patut dilakukan, walaupun ia telah diluluskan dalam persidangan DUN Sabah pada tahun 1988 semasa Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah.
Namun, kelulusan itu mendapat bantahan badan kehakiman susulan ia bertentangan dengan kebebasan berpersatuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Maka, peruntukan dalam Perlembagaan berkaitan kebebasan berpersatuan perlu dikeluarkan menerusi Parlimen terlebih dahulu. Selepas itu, tidak menjadi masalah untuk mengisytiharkan seorang itu tidak layak menjadi wakil rakyat sekiranya melompat parti.
“Pendirian PBS cukup jelas sebagai perintis yang memperjuangkan anti lompat parti, kami memberi sokongan penuh kepada pelaksanaan akta ini.
“Ia sudah menjadi perjuangan PBS sehingga kami berjaya memasukkan Akta Anti Lompat dalam Perlembagaan Negeri, sebelum ia diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas sambutan ulang tahun ke-37 PBS semalam.
Hadir sama ialah Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan-timbalan Presiden Datuk Seri Radin Maleh, Datuk Dr. Yee Moh Chai dan Naib Presiden Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Maximus, yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, perbuatan lompat parti itu umpama satu dosa kerana mereka tidak mempunyai prinsip dalam berpolitik.
“Bagi kami, perbuatan anti-lompat parti sangat jahat, tidak adil, tidak mempunyai etika dan adab yang baik.
“Syukurlah, selepas 37 tahun parti ini ditubuhkan, Parlimen telah bangun dan bersetuju dengan kami dalam PBS bahawa budaya lompat parti adalah teruk dan tidak boleh dibiarkan merosakkan politik kita. Ini adalah pencapaian bersejarah dalam perjuangan politik PBS,” katanya.
Semalam, Wan Junaidi menyatakan, kerajaan memberi jaminan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat pada kali ini, sebelum ia tamat pada 24 Mac ini.UTUSAN