Bukti Orang Asli mampu galas tugas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Bukti Orang Asli mampu galas tugas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

RAMLI MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Arahan menjalankan tugas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merupakan pengiktirafan Badan Tertinggi Perundangan Negara bahawa Orang Asli mampu melaksanakan tugas tersebut.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor berkata, beliau diarahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menjalankan tugas itu sehingga kekosongan jawatan diisi.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Barisan Nasional (BN) atas kepercayaan mencalonkannya.

“Insya-Allah, saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaiknya dengan penuh integriti dan saksama atas prinsip kebebasan bersuara dan keperluan berhemah semasa membincangkan sebarang usul demi kepentingan rakyat dan negara.

“Moga Allah SWT mempermudahkan dan memimpin saya melaksanakan tugas ini dengan adil dan saksama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pencalonan Ramli itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu ditangguhkan daripada sesi sidang lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah itu dibuat kerana ingin meminda Perkara 57 (1) untuk menambah jumlah daripada dua Timbalan Speaker kepada tiga Timbalan Speaker.

Kerusi Timbalan Speaker Dewan Rakyat kosong selepas Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya