Shah Firdaus hanya 60 peratus cergas

Shah Firdaus hanya 60 peratus cergas

Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kiri) belum dapat berlumba ekoran kecederaan lutut dialaminya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk kembali mengibarkan cabaran negara semakin samar selepas kecederaan lutut kanannya masih membelenggu meskipun sudah tujuh bulan berlalu.

Malah, dengan Sukan SEA Thailand 2025 yang semakin hampir, persoalan sama ada Shah sempat pulih menjelang temasya dwitahunan itu terus menjadi tanda tanya besar.

Pengarah teknikal kebangsaan, John Beasley mendedahkan buat pertama kali sejak tujuh bulan, Shah kini menunjukkan tanda bebas daripada kesakitan, namun tahap kecergasan sebenar masih jauh daripada paras sebenar.

“Sejujurnya, kita masih tidak tahu bila dia boleh kembali ke trek. Untuk pertama kali selepas tujuh bulan, Shah nampak bebas daripada kesakitan, dan rawatan terbaharu menunjukkan kesan positif.

“Sejak menang keirin di Piala Negara UCI di Konya Mac lalu, tahap kecergasan Shah jatuh sehingga hanya beroperasi pada sekitar 60 peratus. Ketika ini dia hanya boleh berlatih dengan terhad yang ditetapkan pasukan perubatan,” kata Beasley kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Beasley mengakui situasi ini amat mengecewakan buat Shah dan barisan kejurulatihan kerana proses pemulihan terlalu panjang dan berliku.

Situasi itu sekali gus memberi bayangan jelas peluang Shah ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini semakin tipis biarpun ketua jurulatih kebangsaan, Harnizam Basri sebelum ini menegaskan peluang masih terbuka.

“Berdasarkan keadaan semasa, dia masih perlukan rawatan tambahan sebelum boleh kembali ke latihan penuh, paling awal pertengahan Oktober. Sangat sukar untuk melihat dia cergas menjelang pertengahan Disember nanti.

“Sudah tentu semua pilihan kekal terbuka, tetapi kami tidak akan sesekali melemparkan Shah ke perlumbaan selagi dia tidak 100 peratus cergas, sihat dan benar-benar bersedia,” tegas Beasley.

Pelumba berusia 30 tahun itu sebelum ini sudah terlepas Kejohanan Dunia di Santiago, Chile bulan depan, sekali gus memberi tekanan lebih besar kepada ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri yang menjadi satu-satunya wakil Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN