Hormati lambang negara, jangan ulangi kesilapan sama

Hormati lambang negara, jangan ulangi kesilapan sama

PENGHORMATAN terhadap lambang negara seperti Jalur Gemilang, jata negara dan lagu kebangsaan amat penting sebagai simbol kedaulatan, perpaduan dan identiti rakyat Malaysia. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGIBARAN Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025 di premis perniagaan didapati hambar sekali, malah hampir tiada langsung.

Keadaan ini sebenarnya sudah lama wujud. Kali ini, ia menjadi lebih teruk kerana peniaga sengaja tidak mahu mengibarkannya atas alasan takut melakukan kesalahan. Antaranya memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Ini kerana beberapa insiden seumpama itu berlaku berturut-turut semasa sambutan kali ini, malah turut menerima kecaman hebat daripada orang awam dan pihak-pihak tertentu. Sesetengah kejadian bahkan hampir mencetuskan pergaduhan terbuka.

Atas sebab itu, ada peniaga yang mengambil keputusan untuk tidak mengibarkan Jalur Gemilang pada tahun ini.

Sebenarnya pengibaran bendera secara terbalik boleh dilakukan dengan sengaja untuk tujuan tertentu yang khas sifatnya. Antaranya untuk menyampaikan mesej kecemasan yang sangat mendesak. Ini lazimnya dilakukan pelayar pada masa dahulu dan juga kini. Ia difahami sebagai keperluan bantuan dalam keadaan yang sungguh berbahaya.

Selain itu, bendera terbalik yang dikibarkan secara sengaja juga sebagai lambang cekal bagi menunjukkan bantahan, rasa tidak puas hati dan seumpamanya. Contoh, bendera Amerika Syarikat (AS) sengaja diterbalikkan oleh pihak tertentu untuk membantah keputusan pilihan raya 2020 di negara itu.

Untuk kesemua kes di Malaysia, bendera Jalur Gemilang yang dipasang terbalik tidak disengajakan. Ia digolongkan sedemikian oleh pihak berkuasa tertentu sebagai kesilapan manusia yang tidak dapat dielakkan.

Ini didakwa selari dengan filsafat pada peribahasa ‘bumi mana yang tidak ditimpa hujan’, iaitu tiada sesiapa pun yang terlepas daripada membuat silap.

Pun begitu, filsafat peribahasa ‘rambut sama hitam hati lain-lain’ perlu juga diberi perhatian. Ia merujuk kepada niat setiap orang yang berbeza antara satu sama lain. Ini kerana kejadian bendera terbalik, baik untuk bendera negara mahupun negeri, bukan sahaja berlaku berulang tetapi dilakukan oleh kelompok sama yang memohon maaf setiap kali berlaku tetapi melakukannya semula sejurus sahaja selepas itu.

Sehubungan ini, ia mungkin bantahan politik selain luahan rasa tidak puas hati daripada kelompok itu. Dalam hal ini, mereka selalu mendakwa kelompok mereka adalah mangsa diskriminasi etnik yang berlaku di negara ini.

Dalam pada ini, kelompok ini juga menganggap diri sebagai rakyat kelas kedua.

Jika itulah mesej tersirat yang disampaikan secara tersurat pada bendera terbalik itu, ia sepatutnya tidak sesekali dilakukan sedemikian rupa. Ini kerana terdapat banyak saluran lain yang jauh lebih berkesan untuk menyelesaikan apa-apa sahaja yang dihadapi kelompok itu.

Sehubungan mesej itu, waima apa-apa sekali pun, lambang negara wajib dihormati pada bila-bila masa. Antaranya jata negara, lagu kebangsaan selain bendera negara. Malangnya kesemuanya pernah dihina oleh kelompok yang sama itu.

PENGHINAAN
Jata negara dihina pada 2020 pada kulit hadapan sebuah buku. Pada lambang negara itu dipaparkan seorang kanak-kanak tanpa pakaian di atas bulan dan bintang.

Selain itu, dua ekor harimau diubah suai dan ditambah lakaran seekor buaya di bahagian bawah yang tertera ungkapan keramat ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.

Pada 2007 lagu kebangsaan, Negaraku diberikan nama jelik ‘Negarakuku’. Penggunaan perkataan lucah Cina, kuku yang bermaksud kemaluan budak lelaki, bukan sahaja dajal sekali, juga sangat sensitif.

Seni katanya pula rata-ratanya merupakan satira tentang pelbagai perkara yang ditohmahkan jelik di Malaysia. Antaranya, diskriminasi etnik yang kononnya berlaku teruk terhadap etnik Cina.

SEMANGAT NASIONALISME

Natijah di sini ialah apa-apa jua lambang negara itu, ia hendaklah dihormati pada setiap masa. Ini kerana ia yang berbentuk visual itu sebenarnya adalah perwakilan konseptual yang merangkumi identiti sesebuah negara.
Selain identiti ini, ia juga mendukung segala nilai dan warisan negara berkenaan.

Dengan ini, setiap lambang negara itu sesungguhnya memupuk semangat kebangsaan dan cintakan negara. Dalam hal ini, ia bukan sahaja membina, juga menggiatkan rasa megah kepada negara, selain menyemarakkan rasa kebersamaan sebagai rakyat yang bersatu.

Apabila lambang negara tidak diperlaku dengan penuh hormat, walaupun oleh seorang sahaja atau hanya kelompok tertentu, ia sebenarnya memperlihat tiadanya perpaduan erat lagi utuh dalam erti kata yang sebenarnya dalam kalangan rakyat. Oleh itu, sangat penting bagi setiap rakyat untuk tidak sesekali melakukan perkara yang tidak sepatutnya pada mana-mana lambang negara.

Oleh itu, kesalahan terhadap Jalur Gemilang tidak seharusnya berulang lagi. Ini kerana bendera tersebut mengandungi makna yang sangat mendalam dan istimewa bagi negara Malaysia serta seluruh rakyatnya.

Begitu juga halnya dengan lagu kebangsaan, Negaraku. Ia bukan sekadar lagu patriotik. Ia membangkitkan rasa megah kepada negara selain merupakan pengungkapan kuat lagi tegas tentang sentimen rakyat kepada negara tercinta ini.

Untuk jata negara, ia bukan sekadar lambang yang mewakili negara ini serta kerajaan yang memerintah. Juga ia digunakan dalam dokumen rasmi negara, baik untuk urusan dalam dan luar negara. Seterusnya jata negara ikut digunakan pada semua bangunan kerajaan.

Dengan ini, semua lambang negara bukan sahaja wajib dihormati semulia-mulianya tetapi perlu disanjung peranannya yang penting lagi utama. Ini kerana setiap satunya sangat penting dalam mentakrif dan menyampaikan identiti Malaysia yang unik lagi istimewa, di samping sejarah negara ini yang dikongsi setiap rakyatnya.

Lambang negara juga penting dalam menyatukan semua rakyat di bawah satu set imej yang dikongsi bersama. Melalui set imej ini, rasa kekitaan dan kemegahan bersama terpupuk untuk solidariti nasional, yang penting bagi perpaduan negara dan integrasi nasional.

Selanjutnya lambang negara adalah tanda kedaulatan kita sebagai negara dan rakyat yang bebas merdeka. Dengan ini, ia adalah kuasa autonomi untuk pemerintahan sendiri tanpa terikat lagi dengan sebarang pengaruh dari luar.

Seterusnya lambang negara penting untuk mengikat seluruh rakyat Malaysia secara budaya. Ini kerana ia mewakili setiap nilai dan warisan negara dan rakyat Malaysia untuk dikongsi bersama.

Sebenarnya lambang negara tidak terhad kepada jata negara, lagu kebangsaan dan bendera negara. Ia ikut meliputi sebilangan perkara lain. Antaranya bunga, haiwan, unggas serta artifak tradisional.

Sebagai contoh, bunga raya sebagai bunga kebangsaan yang mempunyai kepentingan budaya di samping berupa tumbuhan asli negara ini.

Dalam hal lambang negara ini, harus diingat oleh semua rakyat, khususnya kelompok yang selalu melakukan kesilapan itu yang jata negara, lagu kebangsaan dan bendera negara adalah manifestasi negara serta rakyatnya.

Ini kerana setiap satunya mewakili identiti, nilai, warisan negara dan rakyat Malaysia.

Apabila disalahlakukan walaupun tanpa sengaja tetapi berulang kali dan oleh kelompok sama pula, perbuatan sebegitu sebenarnya banyak menjejaskan proses pembentukan negara bangsa.-UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN