BN tak boleh harap kemenangan di Melaka berulang - Hassan

BN tak boleh harap kemenangan di Melaka berulang – Hassan

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sasaran kemenangan dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor buat Barisan Nasional (BN) yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  hanyalah satu retorik yang bersifat propaganda politik.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, BN tidak boleh mengharap apa yang berlaku dalam PRN Melaka berulang di Johor kerana pengundi di negeri ini membantah PRN diadakan yang dianggap membazir wang rakyat.

Katanya, mereka kini mempersoal mengapa tidak tunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang tidak lama lagi dan golongan ini akan menolak BN.

“Dengan kemasukan ramai pengundi baharu dalam kalangan bawah 40 tahun menjadikan jumlah pengundi atas pagar memainkan peranan penting tentukan kemenangan atau kekalahan sesuatu parti politik. Undi 18 dan pendaftaran automatik dilaksanakan pada PRN Johor, dalam PRN Melaka hal ini masih belum berlaku.

“Selain itu, kempen BN mengetengahkan pemimpin-pemimpin yang telah disabit bersalah oleh mahkamah dalam skandal rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pelupusan wang haram atau yang sedang dalam perbicaraan atas tuduhan serupa, menjadikan imej BN kotor serta tercemar. 

“Bagi pengundi-pengundi atas pagar yang jernih fikiran mereka tentu akan bertanya pada diri mereka sendiri, adakah parti politik yang macam ini ‘aku’ akan undi?” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kelmarin, Ismail Sabri dilaporkan berkata, BN menyasarkan kemenangan dua pertiga pada PRN Johor selepas melihat peluang cerah kerana gabungan itu tidak mahu hanya sekadar memperoleh majoriti mudah.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, pengundi atas pagar, pengundi muda serta pengundi kali pertama, sebahagian besar mereka kini sedang terperangkap dalam putaran sosioekonomi berhubung isu pengangguran, hilang pekerjaan, gaji rendah dan kos sara hidup yang tinggi amat membebankan fikiran mereka.

“Jadi, slogan kestabilan masa depan yang dikemukakan oleh BN dipandang sinis oleh golongan pengundi ini yang merupakan golongan terbesar B40 dan M40 terkesan dengan kemerosotan ekonomi negara. Kestabilan untuk siapa tanya mereka? 

“Kempen angkuh dan sombong BN seperti kenyataan Perdana Menteri ini dan kenyataan bekas Menteri Besar Johor yang merupakan Naib Presiden UMNO menyatakan BN khususnya UMNO mahu menang dengan majoriti besar sebenarnya tidak akan membantu BN dalam PRN Johor kali ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya