ATM perlu peruntukan tambahan menjelang buka sempadan negara - Utusan Malaysia

ATM perlu peruntukan tambahan menjelang buka sempadan negara

AFFENDI Buang mengadakan lawatan sempena Op Benteng Khas Siri Dua di KD Sultan Ismail Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Tanjung Pengelih, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berharap kerajaan dapat menambah peruntukan bagi memperkasa sempadan negara menjelang pembukaan sempadan negara 1 April ini yang dijangka meningkatkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, Johor merupakan negeri kedua tertinggi bagi kes kemasukan PATI Indonesia dari Pulau Bintan dan Pulau Batam yang merupakan ‘exit point’ ke negara ini.

Katanya, berdasarkan analisis semasa, ancaman yang terdapat di Paksi 3 ini bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti penyeludupan PATI, malah barangan kawalan seperti rokok, minuman keras dan barang terlarang seperti dadah yang aktif di Selatan Semenanjung.

“Besarlah harapan saya agar peruntukan pertahanan negara dapat diberikan lebih bagi pemerkasaan sempadan daratan dan maritim negara terutamanya dari segi perolehan aset serta logistik.

“Ia adalah satu pelaburan jangka panjang yang sangat berbaloi kerana pencerobohan pendatang tanpa izin ini sentiasa ada dan perlu ditangani setiap masa,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan sempena Op Benteng Khas Siri Dua di KD Sultan Ismail Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Tanjung Pengelih, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas persediaan ATM bagi pembukaan sempadan negara.

Tambah beliau, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang mempunyai keupayaan pengesanan haba (Thermal Image Camera) di lokaliti hotspot dapat memantau titik pendaratan serta pergerakan mencurigakan.

Malah, ia juga dapat membantu pemantauan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sekali gus mampu mengurangkan atur gerak anggota di lapangan.

Sementara itu, Affendi berkata, satu perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah dibuat bagi menentukan hala tuju ATM susulan penamatan Op Benteng pada Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN