Anwar gesa syarikat diberi lesen MySejahtera disiasat - Utusan Malaysia

Anwar gesa syarikat diberi lesen MySejahtera disiasat

ANWAR Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid pada Majlis Sumbangan Ihya' Ramadan kepada masjid dan surau seluruh Port Dickson di Masjid Linggi, Port Dickson hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Satu siasatan terbuka harus dibuat terhadap syarikat yang menjadi pemegang lesen aplikasi MySejahtera yang menjadi pertikaian banyak pihak ketika ini.

Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, syarikat tersebut merupakan syarikat luar negara yang berpangkalan di Singapura.

Sehubungan itu, menurut Anwar, ia memberi risiko ancaman kepada negara dan rakyat di negara ini oleh itu ia juga mesti dibahaskan di Parlimen.

“Jadi saya fikir, satu siasatan terbuka harus dibuat dan mesti dibahaskan di Parlimen dan tidak mahu jawab lebih kurang.

“Paling serius soal sekarang ini, syarikat yang diberikan itu berpangkalan di Singapura, dia perlu jawab kalau rasa di sebaliknya. Apa risiko kepada negara, dia perlu jawab,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Ihya’ Ramadan kepada masjid dan surau seluruh Port Dickson di Masjid Linggi di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dokumen mahkamah yang menunjukkan syarikat pembangunan MySejahtera (Entomo Malaysia) bersetuju untuk memindahkan hak milik intelektual dan lesen perisian aplikasi Covid-19 kepada syarikat MySJ Sdn. Bhd (MySJ) untuk RM338.6 juta dalam satu perjanjian sehingga hujung tahun 2025.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kemudian berkata, kerajaan masih berunding dengan MySJ sebagai pemegang lesen aplikasi MySejahtera mengenai terma dan syarat penggunaan aplikasi itu.

Khairy menegaskan, aplikasi MySejahtera termasuk data pengguna adalah selamat dan kerajaan tidak berkompromi dalam soal keselamatan data.

Sementara itu, Anwar berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin harus mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak pembangkang sekiranya kerajaan bercadang untuk membentangkan sekali lagi usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

“Saya minta menteri harus bincang dahulu, kerana beberapa peruntukan itu terlalu ketat, kuasa untuk lawan pengganas, semua itu orang sokong, isu tak sokong usaha ini ialah ada undang-undang terlalu ketat, keras, dan boleh disalah guna.

“Runding dahulu, tengok beberapa peruntukan, kalau tidak kita tetap akan bantah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN