PETALING JAYA: Jumlah dagangan Malaysia meningkat 9.3 peratus kepada RM273 bilion pada Mac 2026 daripada RM249.8 bilion sebelumnya, didorong pertumbuhan eksport 8.3 peratus kepada RM148.8 bilion serta import yang naik 10.4 peratus kepada RM124.2 bilion.
Lebihan dagangan bagaimanapun susut 0.9 peratus kepada RM24.6 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport meningkat disokong pertumbuhan eksport semula dan eksport domestik.
“Eksport semula yang merangkumi 25.5 peratus daripada jumlah eksport melonjak 38.3 peratus kepada RM37.9 bilion, manakala eksport domestik (74.5 peratus) meningkat sederhana 0.9 peratus kepada RM110.9 bilion.
“Import turut berkembang 10.4 peratus kepada RM124.2 bilion, manakala lebihan dagangan menurun 0.9 peratus kepada RM24.6 bilion, sekali gus mencatat lebihan dagangan selama 71 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, berbanding Februari 2026, eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 13.6 peratus, 8.7 peratus, 11.3 peratus dan 47.0 peratus.
“Dari segi kumpulan barangan, sebanyak 90 daripada 259 kumpulan eksport dan 126 daripada 259 kumpulan import merekodkan peningkatan berbanding Mac tahun lalu.
“Peningkatan eksport didorong penghantaran lebih tinggi ke Amerika Syarikat (+RM4.2 bilion), Taiwan (+RM3.1 bilion), Hong Kong (+RM1.8 bilion), Vietnam (+RM1.6 bilion), Mexico (+RM1.5 bilion), Republik Korea (+RM1.4 bilion) dan China (+RM1.1 bilion).
“Import pula meningkat terutamanya dari China (+RM6.9 bilion), diikuti Singapura (+RM3.6 bilion), Republik Korea (+RM1.5 bilion), Vietnam (+RM1.4 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.0 bilion) dan Switzerland (+RM777.0 juta),” jelasnya.
Mengikut komoditi, pertumbuhan eksport dipacu barangan elektrik dan elektronik (+RM9.4 bilion), keluaran perkilangan lain (+RM2.4 bilion) dan produk petroleum (+RM1.8 bilion).
Katanya, ia turut merangkumi barangan optik dan saintifik (+RM1.5 bilion), barangan perkilangan logam (+RM1.2 bilion) serta bijih dan serpihan logam (+RM1.1 bilion).
“Bagi import pula peningkatan direkodkan dalam barangan elektrik dan elektronik (+RM12.2 bilion) serta jentera dan peralatan (+RM2.0 bilion).
“Ia termasuk bijih dan serpihan logam (+RM1.1 bilion), barangan perkilangan logam (+RM1.0 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM745.4 juta) serta produk petroleum (+RM494.3 juta).
“Dari segi penggunaan akhir, import barangan modal (13.1 peratus daripada jumlah import) meningkat 24.7 peratus kepada RM16.3 bilion.
“Bagaimanapun, import barangan penggunaan (7.2 peratus) menurun 7.8 peratus kepada RM9.0 bilion, manakala barangan perantaraan (46.9 peratus) susut 1.1 peratus kepada RM58.3 bilion berbanding Mac 2025,” ujarnya.
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, jumlah dagangan meningkat 10.4 peratus kepada RM789.8 bilion daripada RM715.7 bilion, disokong pertumbuhan eksport 12.7 peratus dan import 7.7 peratus.
Lebihan dagangan turut melonjak 54.0 peratus kepada RM63.2 bilion. – UTUSAN










