Anak Pahang tidak dipinggir bantuan pendidikan Yayasan Pahang - Utusan Malaysia

Anak Pahang tidak dipinggir bantuan pendidikan Yayasan Pahang

NAZRI Ngah (tengah) menyampaikan biasiswa Yayasan Pahang kepada seorang penjaga di Dewan Pejabat Majlis Daerah Jerantut di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 45,205 pelajar anak Pahang menerima bantuan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Yayasan Pahang sempena sesi persekolahan 2022 yang akan bermula 21 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, Yayasan Pahang memperuntukkan RM13.6 juta bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, BSM diperkenalkan sejak 1983 dan diberikan kepada pelajar anak Pahang yang belajar di tingkatan satu hingga enam di sekolah bantuan kerajaan di negeri ini.

“Bermula 2012, kadar baharu BSM dinaikkan daripada RM500 setahun kepada RM600 setahun. Ini sesuai dengan kenaikan kos hidup,” katanya. Beliau berkata demikian kepada  pemberita selepas menyampaikan BSR dan BSM peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak dan DUN Tahan di Dewan Majlis Daerah Jerantut hari ini.

Penerima biasiswa itu membabitkan DUN Damak seramai 918 orang, DUN Tahan (472 orang) dan DUN Pulau Tawar membabitkan 796 orang.

Bantuan kerajaan

Nazri berkata, BSR yang diperkenalkan pada 2002 dan diberikan kepada murid tahun empat hingga enam. Ia membabitkan mereka yang belajar di sekolah-sekolah rendah kebangsaan, jenis kebangsaan dan sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negeri ini.

“Bermula 2012, kadar baharu BSR dinaikkan daripada RM250 setahun kepada RM300 setahun,” katanya.

Beliau berkata, teras pemilihan penerima biasiswa berkenaan mengambil kira status ekonomi keluarga, orang kurang upaya (OKU), ahli keluarga ramai dan cemerlang akademik serta kokurikulum.

Jelas, keprihatinan Yayasan Pahang terhadap kemajuan pendidikan anak-anak Pahang terserlah daripada dahulu, kini dan selamanya.

Oleh itu tegasnya, mana-mana keluarga miskin dan sederhana tiada alasan kukuh tidak menghantar anak ke sekolah.

Ini kerana jelasnya, Yayasan Pahang menyediakan dana khas setiap tahun membantu keluarga kurang berkemampuan. Ia membabitkan aspek kewangan menghantar anak mereka ke sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya