MELAKA: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka mengesan sebanyak 10 kawasan berisiko tinggi (KBT) melibatkan penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, antara lokaliti yang tersenarai adalah Krubong, Batu Berendam, Kuala Sungai Baru dan Tanjung Kling.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan penurunan kes sebanyak 30 peratus menjelang 2025 dengan turut melibatkan usaha penghijauan 10 KBT terlibat.
“Statistik penagihan dadah di Malaysia pada 2021 sehingga September mencatatkan seramai 114,219 orang telah dikenal pasti terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Ini merangkumi seramai 5,000 orang penyalahguna dadah di Melaka. Ini menunjukkan bahawa daripada 100,000 orang penduduk di negeri ini, terdapat seramai 533 orang penyalahguna dan penagih dadah serta bahan,” katanya ketika Majlis Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan peringkat negeri di Ayer Keroh di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah AADK Melaka, Wan Madihi Wan Salleh.
Muhamad Akmal menambah, sasaran utama najis dadah adalah generasi muda yang merupakan tulang belakang dan harapan negara pada masa depan.
“Jika kita lihat dalam konteks Melaka, statistik umur terlibat dalam penagihan pada 2021 adalah seramai 2,809 orang iaitu 56.2 peratus kategori belia, berusia 19 hingga 39 tahun adalah paling ramai menagih dadah.
“Diikuti golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas iaitu 2,140 orang bersamaan 42.8 peratus dan remaja 13 hingga 18 tahun seramai 50 orang iaitu satu peratus,” jelasnya. – UTUSAN










