ALOR SETAR: Lebih 60,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan sekitarnya menarik nafas lega atas pengumuman kerajaan menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) kepada RM300 bagi meringankan beban kos pengeluaran padi.
Pengerusi Badan Bertindak Petani di kawasan MADA, Che Ani Mat Zain berkata, tambahan sebanyak RM140 daripada RM160 sebelum ini bagi keluasan sehektar itu amat diperlukan, ketika kos mengerjakan sawah melonjak akibat kenaikan diesel.
Katanya, mereka berharap pertambahan IPKP tidak disusuli dengan kenaikan mendadak harga diesel yang dibimbangi akan tetap menyebabkan pesawah terpaksa menyerap kos pembajakan.
Menurutnya, kos pembajakan kini sekitar RM180 serelung atau kira-kira RM525 sehektar untuk satu pusingan yang kebiasaan memerlukan tiga pusingan pembajakan, sebelum proses penanaman bermula.
Ujarnya, jika kenaikan upah membajak meningkat kepada RM230 serelung seperti digembar-gemburkan sebelum ini, ia akan tetap membebankan para petani.
“Alhamdulillah kami berterima-kasih kepada kerajaan yang mendengar keluh-kesah para petani yang membanting tulang untuk menanam padi bagi menyediakan bekalan beras kepada negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA, Ishak Taib berkata, penambahan itu memberi manfaat langsung kepada 55,904 peladang dalam MADA serta menjadi sokongan penting dalam mendepani cabaran kos pengeluaran semasa.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan berterusan dalam memastikan kelangsungan sektor pertanian serta jaminan bekalan makanan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Di Perlis, pesawah berpendapat kenaikan kadar IPKP akan meringankan beban pesawah, sekiranya dibayar mengikut musim.
Zamzuri Ishak, 42, berkata, ini kerana lazimnya pembayaran insentif tersebut dibuat pada musim akan datang.
“Insentif untuk pesawah ini tidak dinafikan sedikit sebanyak boleh membantu, namun pesawah tetap perlu menanggung kos operasi yang tinggi ekoran kenaikan harga diesel tersebut.
“Kos jentera berat bagi proses membajak ketika ini meningkat kepada RM1,575 sehektar berbanding sebelum ini, RM938. Kos tetap naik, jika harga diesel terus melonjak.
“Kos mesin padi pula dijangka naik kepada RM868 sehektar berbanding RM625 sebelum ini. Kenaikan kos operasi tersebut boleh mencecah 35 sehingga 50 peratus,” katanya.
Zamzuri yang mengusahakan sawah seluas 15 hektar berkata, tanaman musim ini akan bermula berikutan hujan sudah mula turun.
Katanya, tanaman musim ini bermula bagi fasa satu pada 15 April diikuti fasa dua (29 April) dan fasa tiga (13 Mei).
Di Kelantan, rata-rata pesawah memilih mengecilkan kawasan tanaman bagi musim baharu dalam meredakan tekanan akibat peningkatan kos.
Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, kenaikan kos sebanyak RM300 bagi kawasan seluas 0.4 hektar memberikan kesan kepadanya dan rakan-rakan dalam mengusahakan tanaman tersebut.
“Musim lalu modal untuk tanam padi sekitar RM1,800. Untuk musim baharu dengan kenaikan diesel secara berterusan ini besar kemungkinan kos untuk mengusahakan sawah menjadi RM2,100 untuk 0.4 hektar.
“Itu belum ditambah dengan kenaikan harga input pertanian yang lain seperti baja, racun, vitamin dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN









