SEPANG: Lembaga Tabung Haji (TH) menjamin keselamatan jemaah Malaysia untuk musim haji 1447H/2026M yang berlangsung dalam ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Persiapan rapi dilaksanakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran, termasuk jaminan dari segi keselamatan, perlindungan insurans serta kelancaran operasi.
Penerbangan pertama membabitkan seramai 284 jemaah ke tanah suci, Sabtu ini akan berlepas seperti yang telah ditetapkan menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Pemeriksaan masuk atau lapor diri bermula sehari lebih awal iaitu pada pukul 10 malam, Jumaat ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1447H/2026M, Mohd. Norber Kassim berkata, Tabung Haji sentiasa memantau perkembangan semasa yang berlaku di Asia Barat dengan langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan urusan ibadah haji berjalan dengan lancar.
Katanya, TH turut mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain berhubung dengan Kerajaan Arab Saudi berhubung situasi semasa.
“Sememangnya kita telahpun bersiap sedia dengan pelan bencana, yang mana sebelum ini, sebelum krisis peperangan TH memang telah ada SOP (prosedur operasi standard), kita ada pelan.
“Jadi pelan ini, kita sesuaikan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan yang berlaku. Kita doakan semoga semua urusan haji dapat berjalan lancar sebagaimana yang telah dirancang,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Media bagi Operasi Musim Haji 1447H/2026M di Movenpick Hotel & Convention Center (MHCC) di sini, semalam.
Mohd. Norber turut memberi jaminan kebajikan jemaah terutamanya melibatkan aspek perlindungan dan insurans berada di bawah pengurusan TH.
“Insya-Allah semuanya di bawah pengurusan TH. Jemaah ini merupakan jemaah haji Malaysia dan diuruskan oleh TH. TH akan melihat semua perkara-perkara yang berkenaan,” katanya.
Mohd. Norber berkata, hanya beberapa penyesuaian kecil mungkin dilakukan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perubahan baharu.
“Saya boleh katakan persiapan hampir 100 peratus. Mungkin ada sedikit penyesuaian di sana sini disebabkan mungkin ada perubahan baharu. Secara keseluruhannya, kita telah bersedia sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, operasi haji melibatkan lapan stesen TH di seluruh negara dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertindak sebagai stesen utama.
Jelasnya, semua perancangan telah dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Penyelesaian Operasi Haji Tanah Air yang diadakan bagi memastikan kelancaran setiap urusan.
Beliau berkata, TH turut memberi penekanan terhadap aspek kesihatan jemaah yang disifatkan sebagai keperluan penting dalam memastikan kelancaran ibadah.
“Kesemua maklumat tersebut telah dikongsikan dan disampaikan kepada bakal jemaah haji sebagai persediaan menyeluruh sebelum berlepas ke Tanah Suci. Dalam usaha memastikan pengurusan yang cekap, TH juga telah membuat persiapan rapi melibatkan petugas-petugas terlatih.
“Persiapan ini merangkumi penugasan petugas yang akan membantu dan membimbing jemaah haji sepanjang berada di tanah suci serta di tanah air, sekali gus memastikan setiap urusan ibadah dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan sempurna,” katanya. – UTUSAN









