Konflik Asia Barat ancam sektor pengguna - Utusan Malaysia

Konflik Asia Barat ancam sektor pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Risiko kenaikan kos akibat konflik Asia Barat kini menjadi ancaman utama kepada sektor pengguna, meskipun permintaan domestik kekal kukuh disokong inflasi yang terkawal, menurut MBSB Research.

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘positif’ terhadap sektor pengguna, namun memberi amaran isu tekanan kos tenaga, logistik dan bahan mentah boleh menjejaskan margin pemain industri tempatan.

MBSB Research berkata, jualan runcit di Malaysia naik 7.5 peratus tahun ke tahun kepada RM70.07 bilion pada Februari 2026, mencerminkan prospek permintaan pengguna yang masih berdaya tahan.

“Walaupun terdapat sedikit penyederhanaan bulanan, secara kumulatif, perbelanjaan runcit bagi dua bulan pertama 2026 berkembang 6.8 peratus kepada RM140.25 bilion,” katanya dalam nota penyelidikan.

Pertumbuhan sektor itu disokong oleh kedai tidak khusus yang meningkat 10.4 peratus tahun ke tahun, diikuti makanan dan minuman (F&B) yang naik 7.8 peratus tahun ke tahun, serta kedai khusus lain (+7.4 peratus tahun ke tahun).

Pada masa sama, ektor tersebut didorong kadar pengangguran yang kekal rendah pada 2.9 peratus, manakala inflasi utama menyederhana kepada 1.4 peratus, memberikan sokongan kepada kuasa beli isi rumah.

MBSB Research berkata, namun memberi peringatan isu tekanan kos luaran, khususnya berkaitan tenaga dan rantaian bekalan global, boleh mula memberi kesan kepada inflasi domestik dalam tempoh yang akan datang.

“Trend kos input makanan dan minuman (F&B) pula adalah bercampur, dengan harga koko, gula dan kopi jatuh yang memberi kelegaan kos, tetapi minyak sawit mentah (MSM) dan resin naik menekan margin,” katanya.

Selain itu tambah firma penyelidikan berkata, kos makanan ternakan seperti kacang soya dan jagung meningkat akibat tekanan geopolitik, sekali gus menambah beban kepada pengeluar ayam dan telur.

Bagaimanapun ujarnya, nilai ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) banyak membantu mengurangkan kos import, dan penyusutan bulanan menunjukkan ketidaktentuan masih wujud.

Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pengguna, didorong oleh permintaan domestik yang stabil, sokongan fiskal kerajaan dan potensi aktiviti pelancongan.

“Kami menjangka tekanan margin boleh meningkat sekiranya konflik berpanjangan menolak harga minyak lebih tinggi, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan, pembungkusan dan baja,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN