3,800 akaun pengguna terima bekalan air melalui lori tangki - Utusan Malaysia

3,800 akaun pengguna terima bekalan air melalui lori tangki

SURAYA YAACOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak kira-kira 3,800 akaun pengguna di negeri ini menerima bantuan bekalan air melalui lori tangki secara rutin berikutan masalah bekalan air yang terjejas di kawasan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Bekalan Air dan Sumber Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, jumlah akaun yang terjejas itu bersamaan dengan 0.59 peratus daripada keseluruhan 630,569 akaun pengguna di Kedah.

Menurutnya, terdapat beberapa kawasan telah dikenal pasti sebagai ‘hot spot‘ antaranya di Merbok, Tanjung Dawai, Semeling, Singkir dan kawasan sekitarnya serta Gurun.

“Pada musim kering, kawasan-kawasan tersebut sering terjejas disebabkan penyusutan sumber air mentah yang ketara hingga menjejaskan operasi Lori Rawatan Air (Headworks) Merbok, Gurun dan Tupah.

“Malah sekiranya cuaca panas dan kering berpanjangan, akan ada beberapa kawasan lain yang akan turut terjejas di Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Sik dan bahagian utara Baling,” katanya bagi menjawab soalan Ooi Tze Min (PKR-Bakar Arang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Suraya berkata, Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengambil beberapa langkah diperlukan untuk mengatasi masalah tersebut dalam tempoh jangka masa pendek dan sederhana seperti melakukan pengagihan semula dan memeriksa kembali kawasan yang terkesan mengenai kemungkinan berlakunya ‘air blockage‘.

“Penyelesaian jangka masa panjang pula melibatkan projek naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Pelubang di Kubang Pasu, Jenun Baru di Pendang, Bukit Selambau di Kuala Muda, Sungai Limau di Baling serta Lubuk Buntar di Bandar Baharu,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Hanif Ghazali (Pas-Tanjung Dawai) dan Mohammad Yusoff Zakaria (Pas-Kuala Nerang) yang bertanyakan mengenai penggunaan telaga tiub, Suraya berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sememangnya mengesyorkan sumber air bawah tanah sebagai sumber alternatif terbaik di Kedah.

“JMG mempunyai tiga projek pembangunan yang sentiasa berjalan, sesuai dengan fungsi jabatan dalam meneroka dan membangunkan sumber air bawah tanah. Salah satu daripadanya adalah projek pembangunan penilaian rizab air tanah (RAT) negara.

“Dua lagi projek dilaksanakan JMG adalah pembangunan sumber air tanah di kawasan-kawasan bermasalah bekalan air bersih serta penggunaan air bawah tanah sebagai sumber air di LRA yang kekurangan sumber air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN