2 juta berisiko dijangkiti Covid-19 teruk - Utusan Malaysia

2 juta berisiko dijangkiti Covid-19 teruk

tanzania
Pakar kesihatan meminta penerima vaksin Sinovac segera mendapatkan dos penggalak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira dua juta penerima vaksin primer Sinovac dikhuatiri terdedah risiko jangkitan Covid-19 lebih teruk jika masih belum tampil mendapatkan perlindungan tambahan, dos penggalak untuk diri mereka.

Berdasarkan data dikeluar­kan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Institut Kesihatan Negara (NIH), berlaku penuru­nan imuniti dalam tempoh tiga hingga lima bulan, selepas mendapat dos kedua vaksin Covid-19.

Bagi penerima Sinovac, imuniti dalam bulan pertama dan kedua iaitu selepas suntikan dos kedua sekitar 76.1 peratus, dan menurun dalam tempoh lima hingga enam bulan sebanyak 48.2 peratus dengan imuniti serendah 27.9 peratus.

Bagi vaksin Pfizer, dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas menerima dos kedua, imuniti dalam badan menurun sebanyak 68 peratus iaitu kepada 20.7 peratus berbanding 88.7 peratus selepas tempoh tiga hingga lima bulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, mengikut kajian, sememangnya terdapat penurunan perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 mengikut masa, selepas menerima dos primer terutama vaksin jenis Sinovac.

Lebih-lebih lagi menurut beliau, bagi golongan berisiko tinggi dan warga tua terutama yang ada komorbiditi seperti penyakit diabetes, hipertensi dan sakit jantung kerana risiko jangkitan lebih teruk jika mereka dijangkiti wabak itu.

“Kalau golongan ini terkena jangkitan, tahapnya lebih te­ruk daripada orang lain kerana tidak ada perlindungan tambahan berbanding mereka yang sudah mengambil dos penggalak, kadar jangkitan kurang serius dan hanya dalam ka­tegori rendah.

“Penerima vaksin primer Sinovac selepas 1 April ini dikira tidak lengkap vaksin, itu pun boleh menyusahkan mereka untuk pergi ke mana-mana atau masuk ke kedai. Hal ini penting untuk diambil kira kerana ia adalah keputusan Kementerian Kesihatan,” katanya di sini semalam.

Perlindungan

Victor menjelaskan, walaupun kepentingan vaksin adalah untuk perlindungan diri masing-masing, ia mustahak kerana dapat mengurangkan kemasukan ke hospital.

Apatah lagi katanya, beban sistem kesihatan awam kembali bertambah jika lebih ramai kes pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital mengakibatkan usaha untuk merawat pesakit lain seperti kanser dan sebagainya tidak dapat diberikan fokus.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth), Datuk Dr. Anas Alam Faizli berkata, bermula 1 April ini, penerima Sinovac 18 tahun ke atas dan penerima apa sahaja jenis vaksin primer oleh individu berusia 60 tahun ke atas yang belum mendapat dos penggalak akan hilang status vaksinasi lengkap.

Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan vaksinasi terus ke rumah kepada warga emas yang tidak dapat hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) sebagai usaha mempercepatkan vaksinasi dos penggalak, sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik semula daripada pene­rima vaksin yang tidak mendapatkan dos penggalak sehingga 31 Mac ini.

“Mereka yang belum mendapatkan dos penggalak, di­sarankan segera berbuat demikian. Jumlah kematian semakin meningkat dalam kalangan mereka yang tidak divaksinasi.

“Walaupun gelombang Omicron dilihat tidak agresif seperti gelombang Delta, bagi warga emas khususnya yang mempunyai komorbiditi ia bukanlah penyakit ringan kerana boleh membawa maut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Kok Kar Chai dalam kenyataan mengingatkan me­reka yang belum divaksin supaya tidak memperjudikan nyawa dengan terus menolak vaksin Covid-19.

Beliau berkata, biarpun negara dalam fasa peralihan kepada endemik, hospital masih menerima kemasukan pesakit dan merekodkan kematian akibat Covid-19 setiap hari.

“Walaupun gejala Covid-19 dengan varian Omicron kebanyakannya ringan, bukan semuanya begitu. Jika sistem imun semula jadi seseorang itu lemah, masih ada kemungkinan mendapat gejala teruk apabila dijangkiti virus ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×