SEREMBAN: Seorang lelaki pekerja asing warganegara India yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan menerusi Operasi Khas Bersepadu Kementerian Sumber Manusia yang dijalankan di sebuah restoran di bandar ini pagi tadi.
Operasi tersebut diketuai sendiri oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Asri Ab Rahman.
“Kami telah menyelamatkan seorang pekerja asing warganegara India yang didapati tiada permit kerja dan semasa ditemu bual dia juga disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Dia telah dibawa ke Pejabat Tenaga Kerja Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut. Kes ini akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Mangsa akan dibawa ke rumah perlindungan lelaki di Melaka selepas mendapat Perintah Perlindungan Sementara atau Interim Protection Order (IPO) daripada Mahkamah Majistret Seremban,” kata Saravanan kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Saravanan, pihak JTKSM turut mengesan beberapa kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 yang dilakukan oleh pemilik restoran tersebut iaitu gaji dibayar tunai tanpa persetujuan pekerja, salinan kontrak perkhidmatan yang gagal diberikan kepada pekerja dan pekerja juga tidak diberikan salinan penyata gaji.
“Selain itu, pemilik restoran juga gagal membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan Perakuan Penginapan dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana tiada perakuan penginapan sedangkan pemilik tersebut menggajikan seramai 32 orang pekerja asing warganegara India.
OPERASI Operasi Khas Bersepadu Kementerian Sumber Manusia yang dijalankan di sebuah restoran di Seremban hari ini. – VIDEO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
“JTKSM Negeri Sembilan dijangka akan membuka empat kertas siasatan terhadap pemilik restoran ini,” katanya.
Jelas beliau, agensi lain yang terlibat dalam operasi ini turut mengesan beberapa kesalahan dilakukan oleh pemilik restoran antaranya pelanggan gagal mengimbas MySejahtera dan kesalahan melibatkan pekerja di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB).
“Kementerian Sumber Manusia akan terus melaksanakan penguatkuasaan terhadap akta di bawah bidang kuasa kementerian bagi memastikan keharmonian industri perburuhan berterusan. Pematuhan berterusan adalah penting bagi menjaga kesejahteraan dan kebajikan para pekerja asing di dalam negara,” katanya. – UTUSAN










