Syarikat Itali dedah penemuan besar gas asli di Indonesia

Syarikat Itali dedah penemuan besar gas asli di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Syarikat tenaga Itali, Eni mengumumkan penemuan besar gas asli di luar pesisir pantai Indonesia, yang menurut kerajaan akan menggandakan pengeluaran syarikat Eropah itu di negara berkenaan menjelang 2028.

Kepulauan Asia Tenggara itu sememangnya menghasilkan lebih banyak gas daripada yang digunakan, dengan permintaan terhadap komoditi penting untuk memasak, pemanasan dan penjanaan elektrik itu terus meningkat.

Dalam satu kenyataan lewat Isnin, Eni memaklumkan anggaran awal menunjukkan lokasi kira-kira 70 kilometer dari pantai wilayah Kalimantan Timur mengandungi sekitar 5.0 trilion kaki padu gas serta 300 juta tong kondensat, iaitu hidrokarbon cecair.

Penemuan baharu itu dilaporkan bakal membuka jumlah bekalan yang signifikan untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Kerajaan berkata, penemuan tersebut boleh meningkatkan pengeluaran puncak Eni kepada 2,000 juta kaki padu standard sehari (MMSCFD) menjelang 2028 dan kepada 3,000 MMSCFD sehari dua tahun kemudian.

Pada masa ini, pengeluaran berada antara 600 hingga 700 MMSCFD.

“Ini adalah penemuan gergasi. Selain gas, menjelang 2028 kita juga akan menghasilkan kira-kira 90,000 tong kondensat. Pada 2029–2030, jumlah itu boleh meningkat kepada 150,000 tong.

“Pengeluaran kondensat yang lebih tinggi dijangka dapat mengurangkan import minyak,” menurut kenyataan kerajaan yang memetik Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia.

Seperti banyak negara lain, Indonesia berdepan tekanan akibat lonjakan harga tenaga global sejak tercetusnya perang di Asia Barat.

Bahlil berkata pada Mac, kira-kira 30 peratus import gas petroleum cecair (LPG) Indonesia datang dari Asia Barat dan kerajaan akan mencari pembekal alternatif.

Menurut Bahlil, penemuan terbaharu oleh Eni itu membuktikan Indonesia masih mempunyai potensi besar untuk mengoptimumkan sumber minyak dan gas sebagai tonggak keselamatan tenaga negara serta usaha mencapai sara diri tenaga.

Minggu lalu, Presiden, Prabowo Subianto bertemu rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin di Kremlin, di mana Jakarta menyatakan satu perjanjian berkaitan perolehan minyak telah dicapai, namun butirannya masih dimuktamadkan.

Jurucakap Kementerian Luar, Vahd Nabyl Achmad Mulachela memberitahu, tiada jumlah khusus setakat ini, namun ia akan bersifat jangka panjang demi keselamatan tenaga.

Prabowo kemudian ke Perancis untuk bertemu Presidennya, Emmanuel Macron, di mana kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bekerjasama dalam peralihan tenaga serta pembangunan tenaga baharu dan boleh diperbaharui.

Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, di mana bahan api disubsidi secara besar-besaran, merupakan pengeluar minyak tetapi masih menjadi pengimport bersih.

Bulan lalu, kerajaan Prabowo mengumumkan langkah catuan bahan api serta mewajibkan penjawat awam bekerja dari rumah setiap hari Jumaat bagi menjimatkan penggunaan tenaga.

Kerajaan turut berjanji tidak akan menaikkan harga bahan api tahun ini, walaupun bajet subsidi dikira berdasarkan harga minyak AS$70 (RM276.94) setong, sedangkan harga semasa menghampiri AS$100 (RM395.58) akibat konflik.

Minggu lalu, kerajaan menaikkan harga beberapa bahan api dan gas yang tidak disubsidi.

Menurut data terkini Agensi Tenaga Antarabangsa, gas asli menyumbang 15.6 peratus daripada bekalan tenaga Indonesia dan 12.9 peratus daripada penjanaan elektrik pada 2023.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN