PETALING JAYA: “Kenapa kadang-kadang bila kita berpakaian comot (tidak bersiap) mahu masuk restoran mewah, cara pandangan itu seperti dihakimi?”
Demikian kata pelakon, Nabila Huda meluahkan rasa hairan dengan sikap sesetengah individu yang gemar memberi pandangan serong terhadap pemakaian seseorang yang berkunjung di restoran mewah.
Menurut Nabila yang mesra disapa sebagai Abil, perkara itu bagai sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat yang gemar menilai status seseorang melalui penampilannya.
“Contohnya, kadang-kadang saya keluar memang pakai T-shirt dan selipar. Saya malaslah mahu bersiap, tetapi gincu mesti pakai kan.
“Cuma gaya itu tidak kena dengan suasana restoran itu. Susah mahu jelaskan, fahamkan pandangan macam “eh, betul ke dia mahu makan di sini?”
“Sampai buat kita tak selesa, padahal kita mahu makan saja. Ada juga pelanggan yang pandang macam kita ini gelandangan, betul-betul ya,” luahnya di Threads.
Tambah Nabila, dia tidak mengharapkan sebarang layanan istimewa, namun kesal dengan individu yang bersikap berat sebelah atau ‘double standard’ hanya kerana pemakaiannya tidak bersesuaian dengan tempat yang dikunjungi.
“Saya bukanlah mahu orang kenal atau harap layanan istimewa. Saya memang tidak kisah langsung tentang itu. Apa yang saya nak, cuma makan.
“Di Malaysia bukan hanya pekerja Melayu saja, ada pelbagai bangsa. Tapi kenapa bila kita nampak comot, terus ada tanggapan pertama seperti itu? Tak boleh ke kita dilayan sama rata?
“Tak boleh ke beri senyuman semanis buah nanas walaupun pakaian kita tak setaraf dengan pelanggan lain? Itu sebenarnya yang saya risaukan,” ujarnya.










