IPOH: Kerajaan negeri Perak menubuhkan dua jawatankuasa khas untuk melaksanakan pelan mitigasi kesan konflik Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga dunia.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Khas Mitigasi Impak Krisis dan Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis dengan peranan khusus kedua-dua jawatankuasa itu akan diperincikan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan disusuli dengan pelaksanaan langkah-langkah mitigasi dan intervensi secara berfasa untuk menangani kesan perang di Asia Barat.
“Fasa awal langkah mitigasi akan menumpukan kepada perkara yang paling asas iaitu menyentuh keperluan di dapur dan meja makan rakyat, memastikan keperluan makanan rakyat terus terjamin, khususnya bagi golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup ketika ini.
“Fasa-fasa seterusnya juga akan menekankan komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi terhadap sektor-sektor strategik negeri, selain memastikan golongan seperti petani dan usahawan kecil dapat diupayakan sekiranya keadaan krisis tenaga bertambah buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Menurutnya, ikhtiar kerajaan juga tertumpu kepada memastikan bekalan makanan kekal stabil, membantu sektor-sektor yang terkesan seperti pengangkutan, pertanian dan perikanan serta memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Bagi memastikan pelan mitigasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerajaan negeri akan melaksanakan penjajaran semula perbelanjaan bagi tahun 2026 dengan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat dalam situasi semasa.
“Peruntukan-peruntukan yang kurang kritikal akan diteliti semula, supaya sumber yang ada dapat dimanfaatkan secara lebih optimum bagi menyokong pelaksanaan langkah-langkah intervensi ini,” katanya.
Saarani berkata, dalam masa yang sama, sekiranya keadaan memerlukan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mempertimbangkan pelaksanaan belanjawan tambahan bagi memperkukuh usaha mitigasi.
“Ia bertujuan melindungi kebajikan rakyat, menyokong sektor sektor yang terjejas serta memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negeri terus terpelihara.
“Kerajaan negeri teguh dengan prinsip bahawa tanggungjawab kita adalah untuk bertindak dalam ruang yang kita ada untuk memastikan kesan kenaikan kos ini dapat ditangani sebaik baiknya, khususnya untuk mendampingi dan membantu golongan yang paling terkesan,” katanya. – UTUSAN










