BATU PAHAT: Langkah UMNO mengurangkan kerusi yang akan disertai mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan sikap bertolak ansur antara parti-parti dalam Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan itu membuktikan BN mengamalkan prinsip bermusyawarah sesama parti komponen.
“Bila ada lebih daripada satu parti seperti dalam BN, kena ada istilah tolak ansur, tak boleh ambil semua dekat kita. BN pula adalah gabungan berusia 60 tahun, jadi kita kena ada sifat tolak ansur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kesejahteraan Keluarga dan Pembangunan Minda Kesihatan Masyarakat Orang Asli Daerah Batu Pahat di Kampung Dalam, Parit Sulong di sini hari ini.
Mahdzir mengulas tindakan UMNO membatalkan hasrat untuk bertanding 42 kerusi seperti diumumkan sebelum ini apabila sebaliknya hanya meletakkan calon di 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada sesi pengumuman calon di Johor Bahru, UMNO membenarkan parti komponennya MCA dan MIC untuk mengekalkan jumlah kerusi sama yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
UMNO bagaimanapun akan bertanding di dua kerusi tambahan berbanding pada PRU lalu setelah menyerap kuota dua kerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang bukan lagi sebahagian daripada BN.
Kata Mahdzir, bukan setakat UMNO tetapi MIC dan MCA juga perlu bertolak ansur agar akhirnya BN mencapai kesepakatan seperti yang diputuskan semalam.
Sementara itu, mengulas tindakan UMNO menukar calon di dua kerusi DUN semalam, Mahdzir menjelaskan situasi politik di PRN Johor amat berbeza dengan PRU-14 pada 2018 dahulu.
Selain itu, kata beliau, BN optimis dapat memenangi kerusi-kerusi yang pernah kalah pada PRU-14.
“Apa yang berlaku di Melaka dan Sarawak, orang pun menjangkakan macam lain tapi pengundi di luar sana sudah mempunyai keputusan yang agak luar biasa berbanding 2018,” katanya. – UTUSAN










