Tidak perlu PKP semula, fokus disiplin rakyat - Utusan Malaysia

Tidak perlu PKP semula, fokus disiplin rakyat

RAMAI yang mahu kerajaan menekankan aspek mendisiplinkan rakyat terutama tentang pengambilan vaksin dan pematuhan SOP daripada mengadakan semula PKP. - UTUSAN/MOHD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Peningkatan kes Covid-19 ketika ini menimbulkan pelbagai reaksi sehingga ada yang mencadangkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung pandemik itu daripada tersebut merebak.

Bagaimanapun, di sebalik cadangan itu pelbagai aspek perlu diteliti kerana di sebalik perkara yang positif ada juga kesan yang amat mendalam terutamanya kepada ekonomi negara, pendapatan rakyat, kehidupan masyarakat dan soal pendidikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kehormat Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak berkata, PKP tidak wajar dilaksanakan semula walaupun Malaysia berdepan kenaikan kes ketika ini.

Apa yang penting ketika ini katanya, rakyat perlu meningkatkan disiplin dan mematuhi segala prosedur operasi standar (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa bagi membendung penularan Covid-19.

“Memang betul, ada kesan positif apabila PKP dilaksanakan semula tetapi, kena ingat ada juga kesan positif terutamanya dalam soal ekonomi. Secara dasarnya PKP untuk elak pertembungan antara manusia dan putuskan rantaian.

“Sekarang, bagi saya perkara itu (peningkatan kes) tidak mendatangkan masalah kerana boleh dikatakan hampir keseluruhan rakyat negara ini sudah menerima vaksin, jadi hanya perlu tingkatkan disiplin untuk patuh kepada SOP sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu kata Dr. Marzuki, orang ramai juga digalakkan untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai perlindungan tambahan bagi mengekang penularan wabak berkenaan daripada terus meningkat.

Berkongsi pendapat yang sama, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pelaksanaan PKP hanya menambah tekanan kepada rakyat.

“PKP menyeluruh tidak boleh dilaksanakan, jika mahu buat juga, mungkin di kawasan tertentu sahaja yang difikirkan perlu. Kita lihat semasa PKP pada awal-awal dahulu, banyak kesannya kepada ekonomi, kesihatan mental dan sebagainya.

“Apabila kes meningkat sekarang, kerajaan kena fikirkan sesuatu. Mungkin boleh kurangkan kawasan-kawasan yang padat. Misalnya, kawal dalam soal kehadiran ke sekolah dan sarankan untuk penggiliran kerja kepada sektor tertentu,” katanya.

Selain itu, Sharifa Ezat turut menggesa agar kerajaan tidak berlembut atau memberi muka kepada penganjuran aktiviti yang boleh menyumbangkan kepada peningkatan kes Covid-19.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor misalnya, kerajaan kena tegas untuk ketatkan SOP, memang varian Omicron ketika ini tidak beri kesan yang teruk tetapi, kena ingat bahawa kebolehjangkitannya sangat tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden ll Pertubuhan Ikatan Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, rakyat ketika ini sudah tahu untuk menguruskan diri di era pandemik Covid-19.

“Peningkatan kes ketika ini juga kerana ramai yang ikut saranan keranaan untuk lakukan ujian kendiri dan mereka faham mengenai perkara itu. Bagi saya, selagi kemasukan ke wad dan ICU terkawal, tidak perlu pelaksanaan PKP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×