Tengku Amir sokong kempen perangi diabetes

Tengku Amir sokong kempen perangi diabetes

TENGKU AMIR SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memberi sokongan kepada kempen perangi diabetes anjuran Selangor FC dengan kerjasama syarikat farmaseutikal Sanofi Aventis Malaysia (Sanofi).

Tengku Amir Shah menerusi satu video yang dimuat naik dalam Facebook Selangor FC bertitah, semua individu perlu menjaga kesihatan dan mula mengurangkan pengambilan gula berlebihan.

“Kepada semua yang beta kasihi, kesihatan adalah sesuatu yang amat berharga dalam kehidupan, yang tidak boleh kita jual beli dan ia perlu dijaga.

“Diabetes merupakan salah satu penyakit kronik yang sudah lama wujud dalam kalangan kita, ia berlaku apabila kandungan gula dalam darah melebihi tahap normal sehingga membawa kepada penyakit jantung, strok dan membahayakan kesihatan,” titah baginda.

Baginda berharap rakyat tahu cara melawan penyakit bahaya itu dan tidak mengambil sikap sambil lewa dalam pemakanan seharian.

“Pepatah ada berkata mencegah lebih baik daripada merawat, jom mula amalkan diet sihat, kurangkan pengambilan gula berlebihan, kerap bersenam dan buat pemeriksaan bulanan untuk tahu tahap kesihatan. Ayuh, kita lawan diabetes!,” titah baginda.

Selangor FC bersama Sanofi melancarkan kempen memerangi penyakit tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia dengan petisyen secara dalam talian.

Kedua-dua pihak menyasarkan 10,000 ikrar daripada masyarakat bagi mengisytiharkan kempen perangi diabetes menerusi pautan https://www.change.org/war-against-diabetes-MY. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN