KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertindak menyita sebuah lori yang didakwa melakukan aktiviti melupuskan sampah di tapak pelupusan haram di Pelabuhan Klang di sini.
Ini selepas perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri pada Rabu lalu.
MPK dalam satu kenyataan berkata, siasatan dilakukan di Jalan Jeti Pandamaran pada 16 Februari lalu pada pukul 1.30 petang. Siasatan dilakukan oleh Skuad Pantas, Jabatan Penguatkuasa MPK sebelum lori berkenaan disita selepas terlibat dengan aktiviti tersebut.
“Hasil siasatan pasukan mendapati terdapat sebuah lori 5 tan jenis Mitsubishi berwarna putih milik sebuah syarikat yang beroperasi di Jalan Seruling, Taman Klang Jaya. Pihak terbabit telah melakukan kesalahan dibawah Undang-Undang Kecil (UUK) 4 Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (PPPS) MPK 2007.
“Pemandu lori berkenaan membuang sampah industri di di tapak yang tidak dikhaskan oleh MPK,” katanya.
Jelasnya, tindakan sitaan lori berkenaan selaras peruntukan undang-undang kecil MPK dan kenderaan itu kemudian dibawa ke Depoh JPK.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Azmizam menerusi Facebooknya mendedahkan video memaparkan kegiatan pembuangan sampah secara haram di kawasan tebing sungai di kawasannya.
Menurutnya, kegiatan pembuangan sampah di situ semakin berleluasa hingga merosakkan alam sekitar. – UTUSAN










