SEORANG sahabat berketurunan Cina memaklumkan kepada saya bahawa kalendar Tahun Baru Cina 2020 adalah tahun tikus. Tikus adalah haiwan yang suka bersembunyi serta kotor dan ironinya tahun 2020 telah pun berlalu yang mana kita banyak bersembunyi di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rentetan virus Corona yang menyerang dunia.
Tahun 2021 adalah tahun lembu maka kata sahabat saya itu dalam setahun lalu bekerjalah kita semua dengan sepenuh tenaga seperti lembu (work like a bull) bagi menyara kehidupan dalam suasana ekonomi yang muram.
Apabila menyambut Tahun Baru Cina kali ini sahabat saya dengan yakin berkata, tahun ini adalah tahun yang baik kerana 2022 ini mengikut susunan zodiaknya adalah tahun harimau yang dikatakan gagah perkasa untuk bangkit daripada pelbagai azab sengsara dan katanya lagi tunggulah tahun arnab pada 2023, barulah kita boleh melompat girang meraikan kejayaan.
Sungguhpun sebagai seorang Muslim kita mempunyai pegangan yang berbeza, sedikit pandangan daripada ilmu astrologi orang Cina ini sekurang-kurangnya memberikan harapan untuk kita bangkit pada 2022 ini selepas mengharungi tahun-tahun yang amat malang dan muram.
Apa tidaknya bila angka-angka jangkitan Covid-19 mula menurun, varian Omicron pula memasuki sempadan negara.
Dalam kebimbangan itu, negara kita ditimpa pula musibah yang bukan kecil apabila banjir besar melanda hinggakan pihak berkuasa tertentu seperti kehilangan arah manakala mangsa banjir yang ribuan jumlahnya itu terumbang-ambing mengenangkan kehilangan nyawa dan harta hinggakan ada yang rumahnya musnah sekelip mata.
Apa yang pasti ujian musibah ini bukan kecil kesannya kepada kita. Satu-satunya berita yang mungkin membawa sedikit keceriaan kepada rakyat Malaysia khususnya peminat sukan adalah andainya pasukan bolas epak Harimau Malaya menumpaskan Indonesia pada perlawanan kumpulan Piala AFF Suzuki di Singapura baru-baru ini.
Namun impian itu sekali lagi meleset apabila Harimau Malaya mudah sangat dibaham negara jiran, Sang Garuda 4-1 dan Naga Emas 3-1. Aduhai! Susah benar untuk mendapatkan berita baik-baik tentang Malaysia ketika ini.
Jika kita fikir musibah banjir dan pandemik itu adalah ujian paling besar dalam negara kita, tanggapan itu tidaklah sepenuhnya tepat. Sebenarnya ujian paling besar yang menimpa rakyat negara kita adalah tiadanya kestabilan politik dalam negara kita hinggakan isu-isu kecil seperti pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh merugikan masa depan pencarum pun menjadi modal politik untuk terus menjadi relevan dalam politik.
Sama ada kita sedar atau tidak dalam kesukaran rakyat terbanyak untuk melangsungkan kehidupan hari ini, ada beberapa puak yang bergelar ahli politik masih belum puas melampiaskan nafsu untuk mendapatkan kuasa politik hinggakan bila tarikh pilihan raya dan pemilihan parti menjadi soal yang begitu rukun wajib seolah-olah tidak tertahan lagi untuk menggapai kuasa memegang tampuk pemerintahan sedangkan Perdana Menteri sedia ada ini pun daripada kabilah yang sama.
Agak menyakitkan hati lagi bahawa rentetan kerakusan nafsu politik ini berlaku beberapa pilihan raya negeri dan langkah jatuh menjatuhkan kerajaan memerintah sudah menjadi kelaziman bagi ahli-ahli politik ini. Malunya saya apabila menerima mesej dalam WhatsApp dari rakan Indonesia yang mengatakan berapa kali lagi kah Pak Jokowi perlu menerima kunjungan Bapak Perdana Menteri Malaysia yang baharu dalam tempoh setahun dua ini sedangkan Bapak Presiden Indonesia masih orang yang sama?
Bertukarlah satu kerajaan ke satu kerajaan lain dan tubuhlah pelbagai parti politik baharu, rakyat tetap kekal susah dan yang susah kian sengsara.
Mengambil bencana banjir sebagai contoh, kita mempunyai anggota Kabinet dan agensi kerajaan yang begitulah besar saiznya hingga jumlahnya melangkaui negara maju namun apabila berlakunya sesuatu bencana banjir, kita seolah-olah terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan efisien dek kerana banyaknya agensi kerajaan yang kelihatannya mempunyai objektif bertindih namun mempunyai arah tuju berbeza.
Sebagai contoh, begitulah banyaknya agensi kerajaan hinggakan tanaman seperti nanas, getah, tembakau, padi, kayu balak dan kelapa sawit pun ada agensinya yang khusus. Jika tidak disusun semula nanti ada pula agensi khusus berkaitan belimbing, tomato dan manggis ditubuhkan dengan carta organisasinya dari pengerusi, ahli lembaga pengarah dan anggota kerja yang meriah!
Tahun Harimau ini perlu membuka mata bahawa negara ini tidak perlu mempunyai terlalu banyak agensi yang ditubuhkan untuk satu objektif yang hampir sama sekadar untuk ‘memfaraidkan’ jawatan kepada orang tertentu dan akhirnya agensi-agensi itu tuding menuding pula antara satu dengan lain.
Susunan semula perlu dibuat agar dalam keadaan ekonomi negara yang tenat ini, duit rakyat tidak lagi dibazirkan kecualilah setiap sen yang dibelanjakan boleh memberikan manfaat untuk rakyat dan negara.
Hakikatnya kini, apabila bertemu dan berbual dengan majoriti rakyat, kita akan dapati kebanyakannya mual dan jijik dengan skrip lakonan ahli-ahli politik.
Skrip ‘desakan akar umbi’ ‘usul sebulat suara’ dijadikan alasan untuk teraju parti politik menghalalkan perlakuan mereka untuk menyokong atau menjatuhkan mana-mana kerajaan sekali pun hingga akhirnya politik Malaysia tidak lagi stabil seperti dahulu.
Rakyat Malaysia berhak mendapat perkhidmatan yang cekap daripada kerajaan. Apakah kita masih menjadi pemerhati pasif terhadap pantasnya negara-negara jiran kita membangunkan ekonomi dan prasarana mereka manakala kita pula masih bertelingkah soal siapakah layak menjadi Perdana Menteri? Sudah-sudahlah Malaysia, tolonglah bangkit.
PENULIS ialah Peguambela dan Peguamcara.