PETALING JAYA: Kebergantungan antara negara mampu memastikan keamanan dan kestabilan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap negara perlu terbuka kepada pelaburan dan perdagangan luar, pencarian bakat serta pertukaran teknologi demi memastikan kemakmuran semua.
Katanya, langkah itu sekali gus mampu melonjak sesebuah negara ke arah pendapatan lebih tinggi dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Saling bergantung dapat memastikan kedaulatan dan bukannya melemahkannya. Sesebuah negara tidak perlu bimbang tentang autonomi mereka hilang sekiranya dengan langkah ini.
“Sebaliknya mereka perlu yakin bahawa dengan kebergantungan ini, daya tahan mereka akan berlipat ganda,” katanya dalam sesi syarahan di Universiti Tianjin, China hari ini.
Anwar tiba di Tianjin semalam bagi memulakan lawatan kerja empat hari termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Kuala Lumpur selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin Bihai pada pukul 5.27 petang, disambut dengan kawalan kehormatan seramai 36 anggota. – UTUSAN










