Himpunan RXZ dicadang anjur di SIC, Sepang - Utusan Malaysia

Himpunan RXZ dicadang anjur di SIC, Sepang

Aiman Athirah meninjau Karnival Permotoran Merdeka di Jenderam Hilir, Sepang di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Himpunan RXZ yang lazimnya sinonim dengan Pantai Timur berpotensi dibawa ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini sekali gus menjadikan Selangor sebagai tumpuan utama sempena Tahun Melawat Selangor dan Tahun Melawat Malaysia tahun depan.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, cadangan itu timbul hasil maklum balas anak muda dan peminat permotoran tempatan khususnya di daerah ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pihaknya melihat SIC sebagai lokasi lebih sesuai dan selamat bagi menghimpunkan penggemar motosikal lagenda itu.

“Ada peminat permotoran mencadangkan kepada saya supaya Himpunan RXZ turut dianjurkan di Sepang. Saya menyokong cadangan itu dan ia boleh dianjurkan.

“Kita tahu program itu biasa diadakan di Terengganu, tetapi tiada salahnya kita bawa ke sini kerana Sepang sudah ada litar perlumbaan bertaraf dunia,” katanya ketika ditemui selepas Karnival Pemotoran Merdeka Jenderam Hilir, di sini semalam.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan supaya anak muda menghantar cadangan rasmi yang komprehensif sebelum ia dibincangkan bersama pengurusan SIC bagi menilai kesesuaian penganjuran.

Aiman Athirah berkata, selain memberi ruang kepada penggemar RXZ, program itu juga mampu menjadi tarikan baharu pelancongan yang selari dengan penganjuran Tahun Melawat Selangor dan Tahun Melawat Malaysia tahun depan.

“Sepang ini sebenarnya platform untuk aktiviti sukan lasak dan permotoran. Jika acara seperti ini dianjurkan di litar rasmi, ia bukan sahaja lebih selamat, malah mampu menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.

“Kita di Pusat Khidmat Parlimen juga sudah ada program ‘Singgah Sepang Dulu’ untuk mempromosikan produk tempatan, jadi Himpunan RXZ akan melengkapkan lagi usaha mempopularkan Sepang,” katanya.

Menurutnya, penganjuran acara itu bukan sekadar himpunan motosikal, sebaliknya bakal membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil selain merancakkan sektor pelancongan domestik.

“Saya percaya jika dirancang dengan baik, Himpunan RXZ di SIC akan menjadi acara ikonik tahunan dan simbol bahawa Sepang bukan sekadar pintu masuk negara, tetapi juga hab permotoran dan pelancongan utama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN