KUALA SELANGOR: Sambutan hari kebangsaan disemarakkan apabila lebih 200 penduduk Tanjong Karang di sini mengayuh basikal sejauh 27 kilometer (km) semalam.
Kesemua mereka terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang kaum itu berkayuh sambil membawa Jalur Gemilang dan mengelilingi beberapa buah kampung dan bendang sawah.
Seorang penduduk, Salmah Ismail, 54, berkata, dia teruja dapat menyertai program Kayuhan Basikal Merdeka Rakyat Parlimen Tanjong Karang itu.
“Ini kali pertama saya berkayuh basikal dalam jarak agak jauh apatah lagi kini sudah berusia. Namun, semangat hari kebangsaan mengatasinya,’ katanya.
Bagi Siti Noor Hasinah Asmila Asmuni, 18, berkata, program seumpama itu bertepatan dengan hasrat menyemai semangat nasionalisme dalam kalangan golongan muda.
“Generasi Z kini mungkin tidak terlalu didedahkan dengan aktiviti berunsur kemerdekaan yang hanya diraikan secara bermusim. Program ini jelas menyemarakkan lagi semangat jati diri cintakan negara secara dan tidak hanya tertumpu kepada media sosial semata-mata,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi berkata, program berkenaan julung kali dianjurkan pihaknya yang bertujuan mengeratkan silaturahim tanpa mengira kaum dan bangsa.










