KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui akan meneruskan komitmennya untuk membantu pelajar daripada golongan B40 di institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi inisiatif penyediaan makanan yang dilaksanakan oleh Yayasan Nurjiwa.
Menurut Siti, program kebajikan tersebut bukanlah inisiatif baharu, sebaliknya telah dilaksanakan secara berterusan sejak lebih dua tahun lalu sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa.
Tidak cuma itu, program itu turut diperkasakan setiap kali Ramadan tiba apabila Yayasan Nurjiwa sendiri turun padang mencari golongan asnaf yang benar-benar memerlukan tanpa hanya bergantung kepada senarai penerima daripada agensi tertentu.
“Program ini bukan baharu, sudah lama kita laksanakan. Yayasan Nurjiwa memberi makan kepada pelajar B40 dan sudah lebih dua tahun kita buat. Lebih banyak peluang kita ambil pada bulan Ramadan kerana ketika itu pasukan Yayasan Nurjiwa akan turun sendiri mencari asnaf.
“Kita tidak hanya mengambil nama yang diberi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana pihak, sebaliknya kita pergi sendiri ke tempat-tempat yang kadang-kadang langsung tidak dikunjungi orang.
“Ada kawasan pedalaman yang kita pergi, penduduk di situ pun tidak kenal Siti Nurhaliza atau suami saya, Datuk Seri Khalid. Apabila pasukan kami bertanya sama ada mereka kenal kami, mereka jawab tidak kenal kerana memang tiada televisyen dan tidak mengikuti media sosial.
“Itu menunjukkan mereka benar-benar hidup dalam serba kekurangan dan itulah golongan yang kita mahu bantu,” katanya.
Siti berkata demikian ketika ditemui di Majlis pelancaran CSR CUCKOO dan lagu baharunya yang berjudul Be Like Water bersama Firdhaus di Menara Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Mengulas mengenai sumber dana yayasan itu, penyanyi nombor satu negara tersebut berkata, setiap konsert yang dianjurkannya sentiasa disertakan dengan niat untuk menyalurkan sebahagian hasil kutipan kepada Yayasan Nurjiwa.
Katanya, ia bagi memastikan lebih banyak aktiviti kebajikan dapat diteruskan.
“Alhamdulillah, apabila saya mengadakan persembahan berskala besar, saya memperoleh dana dan memang setiap konsert saya niat untuk menyalurkan sebahagian daripadanya kepada Yayasan Nurjiwa. Insya-Allah untuk Konsert Gema Bumantara juga saya merancang menyalurkan lagi dana kepada yayasan kerana apabila kita mempunyai dana, lebih banyak aktiviti kebajikan boleh dilaksanakan.
“Impian saya bersama suami adalah untuk meneruskan yayasan ini selama yang mungkin. Kalau boleh biarlah suatu hari nanti Afwa, Afiyah dan anak-anak Datuk Seri Khalid pula mengambil alih supaya usaha membantu masyarakat yang memerlukan dapat diteruskan dari satu generasi ke generasi seterusnya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Siti turut menyatakan Yayasan Nurjiwa tidak akan menghentikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza walaupun berdepan cabaran akibat peperangan yang berterusan.
Siti berkata, keadaan yang memaksa penduduk berpindah-randah sudah dijangka, namun bersyukur kerana pengetua sekolah Afwa Al-Afiyah yang dibantu Yayasan Nurjiwa, Dr. Mohanad masih selamat.
“Kita memahami apabila berlaku peperangan, memang mereka akan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan itu adalah perkara yang terpaksa dilalui oleh penduduk di Gaza.
“Kita sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang paling buruk. Apa yang paling saya syukuri ialah Dr. Mohanad yang kita beri tanggungjawab masih hidup.
“Pelajar-pelajar pula, kalau Dr. Mohanad berpindah, mereka semua mahu mengikutinya kerana mereka berasa selamat berada di bawah jagaan beliau dan di bawah Yayasan Nurjiwa.
“Mereka tahu ke mana sahaja Dr. Mohanad pergi, beliau membawa nama Yayasan Nurjiwa. Sebab itu kami tidak akan berhenti memberi bantuan. Saya sentiasa berdoa agar Allah memanjangkan usianya supaya saya dapat terus menghulurkan bantuan dan tidak berhenti memberi,” katanya.










