Ribuan berarak tuntut imigran haram pulang - Utusan Malaysia

Ribuan berarak tuntut imigran haram pulang

PESERTA tunjuk perasaan menari di Johannesburg semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAPE TOWN: Ribuan orang berarak pada Selasa di beberapa bandar di Afrika Selatan bagi menuntut supaya warga asing tanpa dokumen meninggalkan negara itu.

Ia berlaku  selepas kempen yang berlangsung selama beberapa minggu menyebabkan ribuan pendatang melarikan diri dan mengorbankan empat nyawa.

Protes di seluruh negara itu mengakhiri siri demonstrasi yang dianjurkan oleh gabungan longgar beberapa parti politik kecil serta kumpulan rondaan awam, yang menetapkan tarikh akhir tidak rasmi pada 30 Jun untuk semua warga asing tanpa dokumen meninggalkan Afrika Selatan.

Di pusat bandar Johannesburg, hab kewangan negara itu, beberapa ribu rakyat Afrika Selatan turun ke jalan raya. Kebanyakan premis perniagaan ditutup, pekerja tidak hadir bekerja dan hab pengangkutan kelihatan lengang.

Mereka berarak di belakang penganjur sambil mengibarkan bendera dan sepanduk dalam keadaan dipantau anggota polis yang memakai jaket kalis peluru dan topi keledar antirusuhan.

Di bandar Durban di tenggara negara itu, yang merupakan kawasan tradisi masyarakat Zulu, penunjuk perasaan mengenakan pakaian pahlawan tradisional sambil membawa lembing, cemeti dan perisai, manakala sebahagian daripada mereka memakai kulit harimau bintang.

Sekurang-kurangnya empat kenderaan berperisai ditempatkan di sepanjang laluan perarakan, sementara sebuah helikopter polis berlegar di ruang udara, menurut wartawan AFP.

Brightness Gumbi, 48, yang mengusahakan perniagaan makanan di sebuah perbandaran di Durban berkata, beliau menyertai protes itu selepas bertahun-tahun berdepan kesukaran mendapatkan premis perniagaan yang mampu disewa.

“Pendatang tanpa izin mampu membayar sewa kerana mereka menjual dadah kepada rakyat kami,” katanya kepada AFP.

“Saya berharap melalui demonstrasi ini, presiden kami akan mendengar rintihan kami dan menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas,” tambahnya.

Di Cape Town, bandar pelancongan utama negara itu, sambutan terhadap protes jauh lebih kecil apabila hanya kira-kira 100 orang menyertai perarakan di pusat bandar yang turut melalui satu demonstrasi balas membantah sentimen anti-Afrika dan xenofobia.

Polis berkata kebanyakan protes di seluruh negara berlangsung secara aman, tetapi mereka bertindak terhadap beberapa insiden terpencil rompakan dan cubaan merompak.

Sebagai antara negara terkaya di benua Afrika, Afrika Selatan menjadi destinasi utama pekerja migran walaupun berdepan kadar pengangguran melebihi 30 peratus, kadar jenayah yang tinggi serta kemerosotan perkhidmatan awam di banyak kawasan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN