SPR wartakan 36,408 tambahan pemilih baharu Januari

SPR wartakan 36,408 tambahan pemilih baharu Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 36,408 orang warganegara berumur 18 tahun dan ke atas pada 1 hingga 31 Januari lalu didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah itu merupakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2022 (DPT BLN1/2022) yang  diperakui dan diwartakan pada hari ini.

Beliau berkata, sejumlah 8,579 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya direkodkan dan 7,164 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi dalam tempoh sepanjang bulan lalu.

“DPT BLN1/2022 ini dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 17 Mac depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin menjelaskan SPR menyediakan empat kaedah semakan bagi DPT BLN1/2022 iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my; atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; portal rasmi pejabat-pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Justeru, kata beliau, SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan keatas dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status atau kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Januari lalu untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2022.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan  https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang  D dan hadir ke pejabat pilihan raya negeri berkenaan.

Katanya, Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal pejabat – pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada pengarah pilihan raya negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN1/2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN