Serik banjir, peniaga hasilkan tiga rakit simpan barangan

Serik banjir, peniaga hasilkan tiga rakit simpan barangan

TARMIZI Jaafar menjadikan rakit sebagai tempat simpanan barangan perniagaan dan kelengkapan rumah selain sebagai pengangkutan untuk berpindah di Kampung Teladas di Kemaman, hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Serik menanggung kerugian besar pada 2013, mendorong seorang peniaga kedai runcit di Kampung Teladas di sini menghasilkan tiga rakit bagi dijadikan tempat penyimpanan barangan perniagaannya. 

Tarmizi Jaafar, 60, berkata, kira-kira RM500 dibelanjakan untuk menyiapkan pengangkutan air tradisi yang diperbuat daripada buluh dan tong itu.

Katanya, selain sebagai tempat simpanan barang, rakit-rakit berkenaan turut digunakan untuk menyelamatkan kelengkapan elektrik di rumah di samping memindahkan ahli keluarga, sejak sembilan tahun lalu. 

“Barang-barang yang disimpan atas rakit kemudian ditutup dengan kanvas bagi memastikan tidak basah apabila hujan lebat. 

“Rakit lazimnya diikat pada tiang kedai dan pokok supaya tidak hanyut, Alhamdulillah sejak mengamalkan kaedah rakit ini saya tidak lagi menanggung rugi besar setiap kali musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui pemberita di kedainya, hari ini. 

Peniaga itu berkata, penggunaan rakit buluh lebih praktikal dan murah berbanding bot gentian kaca yang mencecah RM6,000 serta di luar kemampuannya.

Katanya, bot gentian kaca berisiko bocor jika terlanggar objek keras, tetapi rakit buluh tahan lebih lama, malah boleh disimpan selepas banjir.

“Jika ada bahagian rakit yang rosak, saya hanya perlu mengambil buluh di sekitar sungai berdekatan rumah untuk menggantikannya,” katanya. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN