Semarak Niaga jamin PMKS terus berdaya saing 

Semarak Niaga jamin PMKS terus berdaya saing 

ISMAIL Sabri Yaakob semasa majlis pelancaran Semarak Niaga Keluarga Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia bakal memastikan ekosistem perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini terus berdaya saing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion, Program Semarak Niaga memperbanyak akses pembiayaan kepada sektor perniagaan terutama untuk pengusaha PMKS dan sektor informal.

Katanya, program itu juga merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan setiap golongan usahawan.

“Dalam perkara ini, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) TEKUN menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah sifar peratus dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

“Bagi usahawan agromakanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 pada kadar sifar peratus untuk enam bulan pertama beserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan,” katanya dalam majlis pelancaran Semarak Niaga Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Bagi perniagaan yang lebih matang, Ismail Sabri menjelaskan, institusi kewangan seperti SME Bank menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (YEF 2.0) dengan saiz dana berjumlah RM300 juta.

Katanya, untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, kerajaan dan institusi kewangan merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan memulihkan perniagaan.

“Salah satunya adalah melalui kaedah equity crowd funding dan peer-to-peer financing yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad atau BPMB, sebanyak RM100 juta.

“Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan atau gearing yang tinggi, kaedah pendanaan melebihi RM2.2 bilion melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity turut tersedia.

“Kaedah ini diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta. BPMB juga menawarkan Skim RESET atau Rehabilitation and Support Through Equity dengan saiz dana sebanyak RM500 juta,” katanya.

Selain itu, kata Perdana Menteri, Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan Business Recapitalisation Facility bernilai RM1 bilion bagi tujuan sama.

“Secara keseluruhannya, sejumlah RM13 bilion dana tersedia untuk PKS. Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutaman Targeted Relief and Recovery Facility dan Agrofood Facility ditingkatkan secara kolektif sebanyak RM 2.5 bilion kepada RM10 bilion. 

“Jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah sebanyak RM10 bilion,” katanya.

Pada masa sama, katanya, skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP)  ditambah baik dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula dengan tambahan had jaminan sebanyak RM22 bilion. 

“Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperoleh.

“Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia akan menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan melalui sektor kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman terutama dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa dari 1 Jun sehingga 24 Disember 2021, bantuan bayaran balik pinjaman  dimanfaatkan  95,800 peminjam PMKS dan 2.7 juta peminjam individu

Tambahnya, sejak pandemik Covid-19, dana PKS BNM telah dimanfaatkan oleh lebih dari 53,000 PMKS dengan jumlah pembiayaan berjumlah hampir RM20 bilion dan pinjaman kepada segmen perniagaan oleh sektor perbankan mencatatkan perkembangan 4.9 peratus dengan jumlah pengeluaran pinjaman sebanyak RM84 bilion pada suku keempat 2021.

Katanya, PMKS yang menghadapi masalah pembiayaan perniagaan turut dibantu oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) yang sedia menawarkan perkhidmatan percuma termasuk Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) merangkumi bantuan penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan sedia ada.

Ismail Sabri juga menyatakan, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), transformasi PMKS adalah salah satu daripada pelbagai projek game changer bagi meningkatkan daya saing dan sumbangan segmen ini kepada pembangunan ekonomi negara.

Katanya, antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah pelaksanaan sebuah micro, small, and medium enterprises (MSMEs) digitalisation roadmap; peralihan fokus PMKS dari pasaran bertumpu tempatan ke pasaran dunia; program intervensi second chance bagi peniaga tertentu dan pemerkasaan ekosistem koperasi dalam menjana generasi usahawan yang baharu.

“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang bakal memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.

“Insya-Allah, inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ke 45 peratus, sumbangan kepada eksport negara ke 25 peratus dan menjana dua unicorn kebanggaan Malaysia menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata, setelah sektor perniagaan pulih, peluang pekerjaan juga akan bertambah.

“Seterusnya, sasaran 600,000 peluang pekerjaan akan tercapai melalui sumbangan penciptaan pekerjaan di sektor PMKS ini.

“Setelah hampir dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19, tahun ini bukan sahaja menjadi tahun pemulihan, malah ia juga akan menjadi tahun untuk menyusun semula, atau reform.

“Kepada komuniti PMKS, saya berharap agar Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia menjadi pemangkin kepada pemulihan dan penyusunan semula perniagaan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN