Saya tidak pernah sorok kedudukan kewangan negara - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Saya tidak pernah sorok kedudukan kewangan negara – Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kewangan,  Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil menjelaskan dakwaan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kedudukan kewangan negara.

Jelasnya, laporan yang disampaikan kepada Muhyiddin adalah sebuah laporan yang diberikan kepada sekretariat MPN, seperti mana laporan-laporan lain yang diberikan rakan-rakan Kabinet saya tidak kira dari mana-mana parti.

“Sebagai Pengerusi MPN, beliau memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu Perdana Menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-Covid-19.

“Malah, fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah saya sebut berulang kali kepada Kabinet dan sesiapa sahaja orang awam.

“Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan Parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya,” katanya dalam akaun Facebook miliknya.

Katanya, sejak tahun lalu, beliau sudah pun mengetengahkan Akta Tanggungjawab Fiskal bagi mengelakkan isu-isu seperti 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Projek Suria Synergy Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dan sebagainya daripada berlaku lagi.

“Saya pun dah terangkan dengan jelas melalui artikel saya yang diterbitkan oleh beberapa media tempatan.

“Umum tahu keadaan ekonomi negara buat masa ini, terutamanya selepas kesan negatif yang dibawa oleh Covid-19.  Namun, seperti yang saya sebut, fokus utama kita sekarang adalah untuk memacu pemulihan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa,” katanya.

Justeru, katanya, soal menjana pekerjaan, membawa pelaburan, membantu perniagaan adalah antara strategi yang telah dirancang untuk memacu pemulihan ini melalui inisiatif JaminKerja dan SemarakNiaga dalam Bajet 2022.

“Saya berharap kita dapat terus memberi keutamaan yang paling penting kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat. Kita berada di atas landasan yang betul di mana aktiviti ekonomi, baik dari perspektif makro, perniagaan atau individu sedang beransur pulih dengan pantas berdasarkan indikator-indikator seperti pasaran kerja dan sebagainya.

“Saya yakin kita dapat pulih mengikut perancangan dan menjana ekonomi sekali gus terus membawa keyakinan kepada pelabur untuk terus datang ke Malaysia,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa negara menghadapi masalah kewangan yang lebih besar berbanding yang dimaklumkan oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Katanya, maklumat itu diperoleh daripada Menteri Kewangan dan akan mendedahkannya pada masa yang sesuai.

Beliau turut mendakwa pentadbiran Barisan Nasional (BN) tidak akan dapat menjamin masa depan cemerlang seperti Vietnam dan Indonesia.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya