MARANG: Sokongan pengundi UMNO yang mesra Pas dilihat mampu membantu kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun parti itu bakal bertembung di lebih 10 kerusi dengan UMNO, namun beliau yakin penerimaan rakyat terhadap PN.
“Oleh kerana UMNO tidak tarik diri, kita terpaksa lawan lah, kita bertanding atas PN.
“Kita lihat undi bergantung kepada tiga golongan iaitu UMNO yang mesra kita, UMNO yang protes dan mereka yang tidak lagi mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana ditipu dalam pilihan raya lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 56 calon parti itu yang akan bertanding dalam PRN Johor dengan 33 daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Pas (15) dan Gerakan (8).
Kerusi Pas adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, Tenggaroh, Tiram, Parit Yaani, Machap, Senggarang, Jementah, Bukit Pasir, Serom, Kemelah, Simpang Jeram, Tanjung Surat, Maharani, Sri Medan dan Paloh.
Abdul Hadi berkata, Pas akan berusaha memenangi seberapa banyak kerusi walaupun sebelum ini cuma menyandang DUN Bukit Pasir.
Bagaimanapun beliau percaya, PRN Johor mampu mengulangi perubahan sebagaimana dalam PRN Melaka, Sabah dan Sarawak lalu.
“Saya lihat secara rambang antaranya ialah peningkatan undi di Sabah, PN berjaya manakala di Melaka, UMNO hanya mendapat undi asal sahaja dan di Sarawak kita naik hingga DAP pun kalah. Kita harap di Johor akan berlaku perubahan lagi,” katanya. – UTUSAN










