Premis guna logo halal tidak sah terbongkar - Utusan Malaysia

Premis guna logo halal tidak sah terbongkar

Pihak KPDNHEP dan JHEAINS menyerbu sebuah premis di Seremban pagi tadi selepas yang disyaki menggunakan sijil halal Jakim tanpa perakuan yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan sebuah premis di Taman Industri Ringan Seremban di sini yang disyaki menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada produk makanan tanpa mendapat perakuan halal yang sah terbongkar dalam serbuan yang dilakukan pagi tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, serbuan pada pukul 8.30 pagi itu dijalankan oleh lima orang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan bersama empat pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Tindakan ini adalah hasil daripada pemantauan yang dibuat oleh pihak KPDNHEP Negeri Sembilan dan JHEAINS selama seminggu.

“Hasil daripada siasatan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa mendapati sijil pengesahan halal bagi produk yang dihasilkan di premis tersebut telah tamat tempoh pada 2016,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ain Arjuna, perniagaan itu dimiliki oleh seorang warganegara tempatan dan telah menjalankan perniagaan sekitar 2013.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil atas kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Sitaan berjumlah RM50 telah dilakukan membabitkan 33 bungkus mi dan dua gulung plastik pembungkus yang mempunyai logo halal,” katanya.

Beliau berkata, para peniaga diingatkan supaya tidak menggunakan logo halal Jakim sekiranya tidak mendapat sijil halal yang sah daripada pihak berkuasa berwibawa yang bertanggungjawab.

“Penggunaan logo halal adalah untuk pemegang sijil halal yang sah sahaja dan tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan.

“Pengguna di Negeri Sembilan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak KPDNHEP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya